Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jurujual kereta didakwa pecah amanah, tipu membabitkan RM49,000


Tarikh kemaskini: 05/07/2019





IPOH, 5 Julai (Bernama) -- Seorang jurujual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan menipu sebuah syarikat pemaju perumahan membabitkan RM49,000 bagi penjualan dan pemasangan cermin gelap kenderaan, tahun lepas.

Chong U Gene, 45, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar.

Bagi pertuduhan pertama, Chong didakwa memperdaya syarikat Team Keris Berhad untuk memasukkan RM9,000 ke dalam akaunnya bagi mendapatkan kelulusan permit pemasangan cermin gelap kenderaan syarikat itu daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) .

Dia dituduh melalukan perbuatan itu di RHB Bank Persiaran Greenhill, di sini pada 27 Feb 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan berdepan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta boleh didenda. 

Bagi pertuduhan kedua pula, Chong didakwa melakukan pecah amanah dengan mengambil wang hasil penjualan kereta jenis Mercedes Benz SLK 2.3 milik syarikat sama pada 14 Mac 2018 yang dijual dengan harga RM40,000 kepada seorang wanita.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di TKB Tower, Times Square Ipoh, Jalan Sultan Nazrin Shah di sini, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan berdepan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta denda. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Mohammad, manakala tertuduh diwakili peguam Sukhwinder Singh Sidhu dan Shassidaren Deva Sana Pathy.

Terdahulu, Nur Asmaniza mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan, namun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana menanggung seorang anak, ibu yang menghidap penyakit kanser dan bapa berusia 72 tahun. 

 Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 19 Julai ini bagi sebutan semula kes.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel