Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

University of Wollongong tawar program ijazah, pascasiswazah di Batu Kawan


Tarikh kemaskini: 05/07/2019





GEORGE TOWN, 5 Julai (Bernama) -- University of Wollongong (UOW), sebuah universiti awam Australia berhasrat menawarkan program ijazah dan pascasiswazah menerusi kerjasama dengan Paramount Corporation Berhad dengan pembinaan KDU Penang University College di kampus Batu Kawan.

 Paramount dan UOW Global Enterprises menandatangani perjanjian pada 19 Nov 2018 dengan UOW membeli 65 peratus saham dalam perniagaan KDU University College dan KDU Penang University College serta 70 peratus saham dalam KDU College. 

Pengarah dan Pengerusi UOW Malaysia dari UOW Global Enterprises, Noel Cornish berkata UOW merancang untuk membangunkan KDU University College di Glenmarie, Shah Alam, Selangor dan KDU Penang University College di Pulau Pinang sebagai universiti swasta dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Dalam melaksanakan kerjasama ini, kami merasa dialu-alukan oleh kerajaan Pulau Pinang khususnya Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Kami berusaha untuk membangunkan penglibatan serantau yang kukuh dengan kekuatan pembuatan terkenal di Pulau Pinang dalam bidang elektronik, telekomunikasi dan jentera industri, dengan sektor perkhidmatan anda yang pesat membangun,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.

Cornish berkata graduan UOW akan menyumbang kepada Wawasan Pulau Pinang 2030 untuk meningkatkan kualiti hidup, ekonomi, memperkasakan penyertaan sivik dan melabur dalam alam sekitar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount Corporation Berhad Jeffrey Chew berkata Paramount menandatangani perjanjian dengan PDC pada 2014 untuk membeli tanah pegangan bebas seluas 12.14 hektar di Batu Kawan untuk membina universiti metropolis pertama di Pulau Pinang.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan telah meluluskan pembelian tanah itu pada 22 April lepas.

“Dengan memiliki sebuah kampus di Batu Kawan, yang juga kawasan Taman Perindustrian Batu Kawan, KDU Penang University College dapat bekerjasama dengan majikan untuk memberikan pelajar lebih banyak peluang membuat latihan amali dan menyertai aktiviti profesional.

“Kami percaya kerjasama strategik ini akan membolehkan KDU mara ke tahap pembangunan seterusnya kerana KDU dapat memanfaatkan UOW sebagai universiti berbilang kampus global dan pelbagai program yang ditawarkan,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel