Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lebih banyak bukti mengejutkan didedahkan dalam perbicaraan kes Najib minggu ini


Tarikh kemaskini: 05/07/2019





Oleh Suriati Sidek Ahmad

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Lebih banyak keterangan mengejutkan daripada saksi penting dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak dalam SRC International Sdn Bhd minggu ini yang mendedahkan ketua pegawai eksekutif  (CEO) SRC Nik Faisal Ariff Kamil mendapat sokongan individu berpengaruh iaitu berdasarkan peribahasa Cina ‘ada gunung di belakangnya’ dan digambarkan sebagai CEO yang amat berkuasa dalam syarikat berkenaan.

Berikut adalah keterangan bekas pengarah bukan eksekutif SRC Datuk Suboh Md Yassin semasa perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali minggu ini.

 

HARI KE-30 (1 Julai) :

  • Suboh memberitahu Mahkamah Tinggi beliau menandatangani tiga surat arahan pemindahan wang berjumlah RM50 juta membabitkan syarikat itu dan dua subsidiarinya atas perintah Nik Faisal.

  • Beliau berkata demikian ketika Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff merujuk beliau kepada tiga surat arahan pemindahan wang melibatkan tiga transaksi perbankan iaitu RM40 juta, RM5 juta dan RM5 juta daripada SRC kepada Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd antara 24 Dis 2014 dan 6 Feb 2015.

  • Suboh berkata beliau menandatangani surat arahan pemindahan wang itu selepas diminta oleh Nik Faisal untuk tandatangan.

  • Saksi ke-42 pendakwaan itu, berkata beliau tidak pernah menyoal Nik Faisal berhubung perkara tersebut (surat arahan pemindahan wang) kerana Nik Faisal, selaku CEO SRC, bertanggungjawab terhadap hal-hal kewangan dan pentadbiran.

  • Beliau juga berkata Nik Faisal mungkin telah memalsu (meniru) tandatangannya pada dokumen bank berkaitan pemindahan dana oleh SRC. Pemindahan dana dikata melibatkan berjuta-juta ringgit dari SRC kepada dua subsidiarinya Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

  • Pendedahan ini dibuat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama Najib, ketika menyoal balas Suboh yang pihak pembela menggunakan mesin projektor bagi membandingkan tandatangan Suboh pada beberapa salinan kertas dan pada dokumen yang diimbas. 

  • Peguam itu menimbulkan isu bagaimana semua tandatangan Suboh pada 11 dokumen bank di salinan yang diimbas adalah serupa dengan saiz dan struktur yang sama dan mempunyai padanaan tepat dan bagaimana tandatangan Suboh pada salinan kertas pula berbeza dari salinan imbasan.

  • HARI KE-31 (2 Julai) :

  •  Suboh juga berkata tandatangan pada dokumen SRC yang dikatakan ditandatanganinya adalah berbeza daripada tandatangannya sendiri dan bersetuju bahawa sampel tandatangan itu tidak serupa dengan tandatangan pada dokumen yang termasuk arahan kepada AmIslamic Bank untuk pemindahan wang dari SRC International kepada Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana Sdn Bhd. 

  • Suboh juga memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Nik Faisal mendapat sokongan individu berpengaruh dan sebagai CEO, beliau amat berkuasa dalam syarikat berkenaan dan beliau memberi dua sebab berkata demikian. 

  • “Tahukah anda, dia diperkasa oleh kedudukannya, kenapa? Pertamanya, dia adalah CEO syarikat berkenaan, dia seorang yang amat berkuasa.

  • “Keduanya, dia diperkasakan kerana dia ada seseorang di belakangnya seperti kata peribahasa Cina ada ‘gunung di belakangnya’. Inilah beliau, jadi dia tolak kita ke tepi, mengurangkan kita sebagai lembaga pengarah kepada sehingga tiada apa-apa. 

    "Saya mahu saja menjelaskan hari itu, tetapi anda semua (peguam) membantah. Jadi saya tidak menjelaskannya,” katanya apabila disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib.

  • HARI KE-32 (3 Julai) :

  • Suboh memberitahu Mahkamah Tinggi beliau tidak tahu tentang kewujudan akaun ‘rahsia’ di AmBank yang menerima pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk syarikat itu pada 2011.

    Saksi juga bersetuju dengan cadangan peguam Najib bahawa tidak seorangpun pengarah dalam SRC atau Nik Faisal memberitahunya terdapat satu lagi akaun bagi SRC dengan nombor akaun berakhir dengan 736.

  • Saksi itu juga memberitahu bahawa dia tidak pernah melihat penyata akaun ‘rahsia’ SRC. Malah beliau berkata transaksi dari Januari 2011 hingga 31 Ogos 2015 adalah di luar pengetahuannya.

  • Mahkamah Tinggi juga diberitahu tentang fakta mengejutkan bahawa satu daripada akaun bank SRC International Sdn Bhd tinggal baki hanya RM264, bertentangan dengan dakwaan Nik Faisal bahawa akaun itu masih ada baki RM16 juta.  

  • Suboh bersetuju dengan hal itu selepas beliau ditunjukkan dokumen bagi satu akaun dengan nombor berakhir 650 oleh Harvinderjit dan berkata hanya mempunyai RM264 pada baki setakat 28 Feb 2012 dan Suboh adalah orang yang menandatangani akaun itu.  

  • Bagaimanapun, satu lagi entri pada 29 Feb 2012 untuk satu akaun 'misteri' dengan nombor berakhir 736 menyatakan terdapat baki RM17,808.60.

  • Suboh juga tetap dengan pendiriannya bahawa kenyataan yang diberikan beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah ‘daripada mulutnya sendiri’ dan menolak cadangan peguam Harvinderjit yang mewakili Najib, bahawa beliau ditunjuk ajar oleh pegawai-pegawai SPRM, atau Timbalan Pendakwa Raya atau berbincang dengan mereka, semasa menyediakan kenyataan saksi bagi tujuan perbicaraan. 

  • Perkara itu timbul semasa Harvinderjit bertanya sekiranya Suboh tahu bahawa beberapa bahagian daripada kenyataan saksi berhubung peranan Najib dalam syarikat itu menyamai dengan kenyataan saksi Tan Sri Ismee Ismail (bekas pengerusi lembaga SRC International). 

  • Peguam turut merujuk kepada perenggan yang turut menyatakan bahawa anggota lembaga SRC akan bertindak selaras dengan nasihat penasihat emeritus SRC, yakni Najib.

  • Menjawab satu lagi soalan berhubung pinjaman RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Suboh berkata beliau tidak tahu bagaimana dan ke mana wang itu dipindahkan.

  • SRC memperoleh pinjaman RM2 bilion pada 28 Ogos 2011, manakala pada 28 Mac 2012, syarikat itu diberikan pinjaman kedua RM2 bilion daripada KWAP.

  • Beliau juga berkata tidak mengetahui mengenai pinjaman kedua RM2 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun SRC pada 28 Mac 2018 dan dua hari kemudian ia dipindahkan ke akaun lain.

  • Suboh juga berkata beliau tidak tahu RM4 bilion digunakan untuk apa.

  • Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

  • Perbicaraan bersambung Isnin.

  • -- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel