Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jabatan Imigresen nafi Maggie Lindemann ditahan lima hari


Tarikh kemaskini: 05/07/2019





KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen menegaskan dakwaan penyanyi Amerika Syarikat, Maggie Lindemann ditahan selama lima hari ketika membuat persembahan di sebuah premis hiburan, di sini adalah tidak benar.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud menjelaskan Maggie hanya ditahan kurang dari 24 jam dan pihaknya memandang serius dakwaan yang dilakukan oleh wanita terbabit.

Beliau berkata dalam operasi bersepadu di premis itu pada 9.30 malam Jumaat lepas (21 Jun), dua individu tempatan dan tiga warga Amerika Syarikat ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak mendapat kelulusan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

“Pada 22 Jun, kesemua mereka telah diambil keterangan oleh pegawai penyiasat untuk melengkapkan kertas siasatan dan dua rakyat Malaysia itu mendapat jaminan polis di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi pada 4 petang, manakala rakyat Amerika juga dibebaskan pada 7 malam hari yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan Imigresen itu dikeluarkan bagi menjelaskan laporan di sebuah portal berita dalam talian hari ini yang dipetik beberapa media lain berhubung dakwaan Maggie Lindermann bahawa dia ditahan dan ditangkap semasa membuat persembahan serta merujuk kepada kenyataannya '..menghabiskan lima hari terkurung dalam neraka’. 

Khairul Dzaimee berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen pada 24 Jun lepas dan kesemua rakyat Amerika itu dikenakan kompaun RM300 setiap seorang kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna pas lawatan sosial.

Beliau berkata pada 25 Jun (Selasa) seorang daripada pihak penganjur didakwa di mahkamah atas kesalahan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan telah dijatuhi hukuman denda RM30,000 atau penjara satu bulan dari tarikh tangkapan jika gagal membayar denda.

Pihak penganjur telah membayar denda yang dikenakan dan semua barang kes seperti yang direkod dalam borang rampasan telah diserah kepada mereka pada 25 Jun setelah proses pendakwaan terhadap penganjur selesai, katanya.

Beliau berkata Jabatan Imigresen sentiasa melaksanakan tugas dan mengambil tindakan dengan teratur mengikut lunas undang-undang sedia ada.

“Jabatan ini juga menggalakkan pelawat-pelawat asing untuk datang melawat negara ini namun perlulah mematuhi peraturan dan undang-undang serta mendapatkan pas yang bersesuaian dengan lawatan mereka ke negara ini bagi mengelakkan sebarang masalah," kata Khairul Dzaimee.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel