Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wajib isytihar harta bukan untuk berbangga - Anwar


Tarikh kemaskini: 05/07/2019





SEREMBAN, 5 Julai (Bernama) -- Langkah kerajaan mewajibkan semua ahli Parlimen termasuk pembangkang, mengisytiharkan pendapatan dan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukanlah bertujuan untuk berbangga.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya ia bertujuan membolehkan kerajaan mengetahui sekiranya terdapat mana-mana anggota pentadbiran atau ahli Parlimen yang secara mendadak memiliki harta yang berlebihan selepas pengisytiharan dilakukan.

“Kalau pengisytiharan harta itu bermaksud untuk bermewah-mewah atau berbangga-bangga tentulah ia ditolak tapi perisytiharan ini untuk pastikan harta yang diperolehi secara halal dan teratur dan (yang) tidak di ambil tanah, balak, saham, projek sama ada dia itu UMNO, PKR, DAP atau PAS.

“Kalau kita enggan untuk isytihar, orang akan tanya kenapa beberapa pemimpin PAS bimbang apabila didedahkan kekayaannya itu terlalu banyak ada balak, ada tanah, ada saham? kerana ini juga maklumat umum (yang menyatakan) ada beberapa pemimpin yang ada dana atau pun tanah, harta yang berlebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis minum petang dan perjumpaan bersama pimpinan PKR Negeri Sembilan dan Melaka, di sini, hari ini.

Anwar, yang Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini yang dilapor sebagai berkata menyifatkan idea pengisytiharan harta secara umum merupakan teori komunis dan sosialis.

Abdul Hadi berkata ada kemungkinan idea itu diceduk dari pemikiran sosialis yang dibawa oleh parti DAP.

Mengambil contoh Umar Abdul Aziz semasa menjadi khalifah, Anwar berkata, beliau juga turut melakukan pemeriksaan inventori terhadap setiap harta miliknya, keluarganya dan juga negaranya, malah di Indonesia, perkara yang serupa juga dilaksanakan, bagi memastikan harta dimiliki melalui saluran yang sah.

“Kalau kita ambil iktibar itu, tujuan kita supaya bila kita ada maklumat itu kita juga ada kesempatan untuk menilai dan kemudian kalau ditambah (hartanya) umpamanya 400 ekar tanah balak di Perak, Kelantan atau projek di Terengganu, terus kita tahu bahawa dia salah guna kuasa.

“Itu maksud atau tujuan atau usul (daripada Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) untuk meminta pertamanya anggota pentadbiran dan kedua, ahli Parlimen (isytihar harta) dan (sebagai) ahli Parlimen, dia yang tentukan dasar, dia yang bercakap soal ketelusan, soal antirasuah cumanya kita takut isytihar harta sebab apa,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel