Fb9Mj2FQeSQ Felda minta peneroka berubah menjadi lebih berdaya maju
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Felda minta peneroka berubah menjadi lebih berdaya maju


Tarikh kemaskini: 06/07/2019





Oleh Kurniawati Kamarudin

ROMPIN, 6 Julai (Bernama) – Model perniagaan baharu Felda bakal menjadi tumpuan utama pada sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Selancar 3, Muadzaam Shah esok.

Bertemakan ‘Peneroka Mandiri Felda Lestari’, program itu adalah antara usaha Felda untuk memberi kefahaman kepada para peneroka tentang hala tuju dan peluang yang boleh dilaksanakan melalui model baharu itu bagi meningkatkan pendapatan mereka secara konsisten.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual merasmikan sambutan itu, yang buat pertama kalinya dianjurkan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. 

Model perniagaan baharu itu diperkenalkan dalam Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 10 April lalu.

Bagi mencapai kelestarian Felda, kerajaan menerusi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan mahu membawa perubahan dengan melaksanakan 10 perancangan perniagaan Model Baharu Felda termasuk program sewaan tanah jangka panjang, program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu, pengurusan ladang melalui pengukuhan koperasi Felda serta penggunaan teknologi terkini dalam perladangan pintar.

Hari Peneroka Kebangsaan 2019 akan diadakan di Felda Selancar, yang terletak bersempadan daerah Segamat, Johor, dan bakal dimeriahkan dengan kehadiran 10,000 peneroka.

Sambutan itu, yang diadakan sejak 2010, sememangnya dinanti-nantikan oleh 112,635 peneroka tanah rancangan serta masyarakat luar Felda di seluruh negara bagi melihat perkembangan pembangunan dan inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan.

Tahun lepas, sambutan itu tidak diadakan namun sambutan kali ini bakal menampilkan program-program pembangunan menyeluruh untuk dikongsikan dengan para peneroka serta orang ramai.

Sempena sambutan kali ini, Felda juga akan memberi penghargaan kepada Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang akan menerima anugerah Ikon Anak Felda.

Chef Wan, dari generasi kedua Felda di tanah rancangan Sungai Koyan, Pahang, bakal mengadakan demonstrasi masakan daging arnab, yang merupakan satu daripada projek pembangunan peneroka Felda.

Pengarah Besar Felda Datuk Dr Othman Omar berkata kejayaan peneroka yang terlibat di dalam program pembangunan itu diharap dapat menyuntik semangat lebih ramai lagi peneroka untuk mengambil peluang daripada model perniagaan baharu yang diperkenalkan Felda.

“Matlamat utama model perniagaan baharu ini adalah untuk membantu peneroka meraih pendapatan tambahan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kelapa sawit. Memandangkan harga kelapa sawit kini tidak menentu, para peneroka perlulah mencari inisiatif baharu untuk menjana pendapatan,” katanya semasa melawat tapak sambutan Hari Peneroka Felda Kebangsaan di Felda Selancar 3 baru-baru ini.        

 

BERI ‘PANCING’ BUKAN ‘IKAN’

 

Beliau berkata transformasi itu tidak akan berjaya sekiranya peneroka masih dengan sikap lama yang mengharapkan bantuan daripada kerajaan seperti bonus atau ‘duit raya’ sempena Aidilfitri.

“Pemberian duit raya bermakna Felda memberi mereka ‘ikan’ bukannya ‘pancing’,” kata Othman, yang menerajui agensi itu bermula 1 Okt tahun lepas.

‘Pancing’ sepatutnya menjadi kaedah bagi peneroka untuk berusaha meningkatkan ekonomi yang mampu memberi pulangan pendapatan jangka panjang, katanya.

Justeru itu, katanya, model perniagaan baharu itu akan memberi tumpuan kepada membantu khususnya kira-kira 17,000 peneroka Felda berpendapatan rendah dan masih dibebani hutang yang tinggi.

"Kumpulan itu bergantung sepenuhnya kepada hasil kelapa sawit tetapi menanggung hutang yang tinggi, mempunyai anak ramai dan pendapatan tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka,” katanya.

Mengakui bukan mudah untuk mengubah pemikiran kumpulan yang sudah terbiasa mengharapkan bantuan kerajaan, namun, Othman optimis kaedah baharu itu dapat menyuntik semangat peneroka untuk menjadi lebih berdaya maju terutamanya setelah melihat ramai peneroka yang berjaya selepas melakukan transformasi.

Bagi mengatasi kelemahan pembangunan peneroka termasuk berkaitan dengan kepakaran dan pengalaman, Felda akan menjalinkan kerjasama aktif dengan agensi lain seperti Jabatan Pertanian, Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi mewujudkan ekosistem lebih lengkap untuk memastikan kejayaan peneroka.

"Menerusi model baharu ini, Felda sediakan pelbagai kaedah untuk  membantu peneroka menguruskan kebun masing-masing. Ini termasuklah menyewakan kebun (bagi peneroka yang tidak berkemampuan menguruskan kebun) atau meningkatkan pendapatan melalui modul-modul yang Felda bangunkan.

“Kita mahu ajar mereka cara menggunakan ‘pancing’ bagi mendapat ‘ikan’," jelasnya.

 

ALTERNATIF UNTUK PENEROKA

 

Menerusi model perniagaan baharu itu, ketidakmampuan kira-kira 70 peratus peneroka yang berumur 56 tahun dan ke atas boleh diatasi apabila mereka diberi pilihan menyewakan tanah masing-masing dalam tempoh panjang iaitu antara 20 hingga 30 tahun kepada Felda.

Melalui cara itu, mereka tidak lagi perlu meminjam daripada Felda sebaliknya Felda akan membayar sewa kepada mereka pada setiap bulan.

“Apabila kebun disewakan, mereka mempunyai masa untuk menjalankan beberapa inisiatif lain yang dibangunkan dengan bantuan Felda seperti menternak arnab, menanam halia Bentong atau herba misai kucing di kawasan rumah mereka," katanya.

Hasil ternakan dan tanaman itu kemudian boleh dijual kepada Koperasi Felda untuk dipasarkan.

Othman berkata Koperasi Felda akan digerakkan secara aktif terutamanya dalam membangunkan projek berskala besar melalui tanah-tanah yang disewa daripada peneroka.

“Hasil keuntungan akan turut dikongsi bersama peneroka melalui pemberian dividen sebagai ahli koperasi.

"Setakat ini, tiga kawasan dibangunkan menerusi koperasi...mungkin modal yang akan digunakan agak tinggi dengan Felda atau kerajaan akan membantu menyuntik modal," katanya.

 

TANAMAN KONTAN

 

Beberapa alternatif lain turut dicadangkan seperti menanam tanaman kontan dalam skala besar dengan menggunakan kaedah pertanian pintar bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan kos penanaman.

Othman berkata generasi kedua dan ketiga Felda boleh merebut peluang untuk mempelajari kaedah pertanian pintar itu yang menggunakan teknologi baharu dalam Industri 4.0.

Menurutnya hasil tanaman kontan bagi setiap hektar mampu menjana pulangan lebih tinggi berbanding kelapa sawit  malah ada yang mencecah sehingga 10 kali ganda sekiranya menggunakan kaedah pertanian moden.

Tanaman kontan campuran atau ‘intercrop’ boleh dilakukan semasa tanaman semula kelapa sawit menggunakan ruang tanah antara pokok ketika ia masih rendah.

"Umpamanya pisang dan nanas yang boleh menghasilkan pendapatan antara RM500 hingga RM2,000 sebulan. Dalam tempoh setahun atau dua tahun pertama sementara menanti hasil daripada kelapa sawit, peneroka boleh memperoleh hasil daripada tanaman kontan itu,” katanya.

Bagi ladang yang mempunyai kelapa sawit matang, peneroka tidak boleh mengusahakan tanaman ‘intercrop’ tetapi mereka boleh melaksanakan model integrasi seperti ternakan lembu, kambing dan kerbau.

Othman berkata ramai peneroka Felda yang berjaya dalam melaksanakan projek ternakan mereka.

“Felda Selancar juga melahirkan usahawan ternakan lembu dan kerbau. Kejayaan mereka boleh kita jadikan modul bagi membantu meramaikan peneroka yang mengusahakan ternakan," katanya.

Beliau berharap model perniagaan baharu Felda itu dapat merubah pemikiran peneroka untuk menjadi usahawan berjaya sekali gus memulihkan kewangan agensi itu serta mengembalikan kegemilangannya.

 

Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin

 

--BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel