Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perkeso bantu pesakit lumpuh dan buta di Pantai Cahaya Bulan


Tarikh kemaskini: 06/07/2019





KOTA BHARU, 6 Julai (Bernama) -- Kesengsaraan hidup seorang lelaki yang lumpuh dan buta kedua-dua mata sejak setahun lepas sedikit terubat apabila menerima bantuan lampin pakai buang serta kerusi roda daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini.

Muhamad Daud, 46, yang masih bujang dijaga oleh ibunya, Che Esah Mat Zin, 64, yang menyara hidup dengan mengambil upah sebagai tukang urut dengan pendapatan tidak menentu.

Menurut Che Esah, anaknya yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu am di sebuah kilang di sini, disahkan lumpuh pada pertengahan 2018 selepas mengalami demam panas.

Katanya Muhamad kini hanya mampu berbaring dan urusan diri terpaksa dilakukan orang lain serta perlu memakai lampin pakai buang sepanjang masa.

"Pendapatan mak cik memang tidak mencukupi kerana terpaksa mengeluarkan ratusan ringgit sebulan bagi menguruskan anak yang lumpuh. Saya berterima kasih kepada Skuad Perkeso Prihatin Kelantan yang cepat bertindak selepas mendapat tahu mengenai penderitaan yang kami alami.

"Dengan bantuan segera ini dapatlah mengurangkan segala penderitaan yang dialami oleh anak saya serta keluarga kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Siti Manis di Pantai Cahaya Bulan, di sini, hari ini.

Che Esah ditemui pemberita pada penyampaian bantuan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang turut dihadiri Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob.

Sementara itu, Nora berkata kesusahan keluarga itu mendapat perhatian pihaknya hasil makluman daripada pihak media sebelum membuat kunjungan awal pada 25 Jun lalu.

Beliau berkata hasil semakan mendapati Muhamad layak menerima bantuan ilat kerana pernah bekerja sebelum berhenti pada 2012.

"Penilaian awal telah dilakukan oleh Pegawai Pemulihan Perkeso dan mendapati Muhamad layak menerima kemudahan bekalan lampin pakai buang secara berkala sepanjang keilatannya selain kerusi roda untuk pergerakan.

"Kita akan merujuk kes ini ke sidang Jemaah Doktor pada kadar yang segera untuk menentukan beliau mengalami keilatan ataupun sebaliknya," katanya.

Bagaimanpun, Nora berkata Muhamad menerima bantuan ilat sahaja kerana bilangan caruman yang dibuatnya tidak memenuhi kelayakan bilangan caruman untuk tuntutan Pencen Ilat.

Katanya bantuan ilat akan diberikan secara berkala selain alat bantuan pemulihan dari semasa ke semasa mengikut pengesyoran daripada doktor yang merawatnya dan selaras dengan Seksyen 57 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang memperuntukkan kemudahan alat-alat pemulihan untuk pekerja yang mengalami keilatan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel