Wan Abdul Rahim presiden KAFA yang baharu
Tarikh kemaskini: 06/07/2019

KOTA BHARU, 6 Julai (Bermama) -- Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, dipilih sebagai presiden baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi sesi 2019/2013 menerusi Kongres Agung Luar Biasa (EGM) persatuan itu yang diadakan hari ini.
Wan Abdul Rahim atau lebih dikenali dengan Cikgu Rahim berjaya mengalahkan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz dalam undian pusingan kedua dengan kiraan undi 28-16.
Sebelum itu, dalam kiraan pusingan pertama, Cikgu Rahim berjaya memperolehi undi 25-20 namun tidak boleh diisytiharkan sebagai pemenang kerana tidak mendapat majoriti 2/3 undi.
Sementara itu, Datuk Seri Afandi Hamzah mengekalkan jawatan Timbalan Presiden KAFA setelah berjaya mengalahkan dua calon lain iaitu Mohd Yusri Mohammad dan Datuk Seri Zumridi Tambi.
Bagi jawatan Naib Presiden, Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) sebulat suara memilih Datuk Rowi Dollah, Datuk Shaari Mat Hussain dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Dr. Zaliman Sauli.
Sementara itu, seramai 10 calon dipilih bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif pada EGM kali ini membabitkan Zakaria Mat, Wan Rakemi Wan Zahari, Datuk Azman Ismail, Zahari Kechik, Ahmad Muzakir Hamid, Muhammad Nuzulhad Muhamad Zain, Hanafi Ismail, Zaki Mat Zain, Mohd Asri Mohd Hussain dan Datuk Ir Saamin Fahmi Hassan.
Pengumuman tersebut dilakukan oleh Afandi pada sidang media selepas pengundian dilakukan.
Afandi berkata barisan kepimpinan yang dipilih hari ini merupakan muka baharu yang diberi kepercayaan oleh perwakilan bagi membawa perubahan kepada KAFA dan pasukan Kelantan.
"Mesyuarat pertama bersama presiden dan Exco baharu dijangka diadakan esok bagi membincangkan beberapa perkara.
"Wan Abdul Rahim tidak dapat hadir pada hari ini disebabkan oleh beberapa urusan yang tidak dapat dielakkan," katanya.
Sementara itu Wan Abdul Rahim berkata beliau berterima kasih kepada perwakilan yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menerajui KAFA.
"Insya-Allah saya akan mengadakan sidang media esok untuk mengulas lanjut mengenai perancangan KAFA," katanya ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp hari ini.
EGM KAFA diadakan selepas Exco sebulat suara bersetuju menerima desakan daripada PBJ ekoran daripada kemerosotan prestasi skuad The Red Warriors (TRW) dan peletakan jawatan bekas presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan.
-- BERNAMA
|