Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tindakan tegas terhadap pengusaha kilang jalankan operasi tidak patuhi syarat


Tarikh kemaskini: 06/07/2019





YAN, 6 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri Kedah akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha kilang yang menjalankan operasi tanpa mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga menyebabkan pencemaran berlaku di negeri ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata pihaknya tidak akan sesekali mengeluarkan lesen kepada mana-mana pengusaha kilang yang menyalahgunakan operasi sekali gus beroperasi secara haram hingga menjejaskan kesihatan orang awam.

“Kita menerima aduan (pencemaran dari kilang kitar semula di Sungai Petani) dan daripada aduan-aduan itu kita sudah pun mengambil tindakan, antara lain mana-mana kilang tidak berlesen, yang ini kita dah arahkan supaya ia ditutup, malah ada juga di mana peralatan disita.

“Walaupun begitu kita juga terima laporan masih ada lagi kilang-kilang walaupun telah diisytihar haram tetapi masih lagi beroperasi yang ini pun kita ambil tindakan pelbagai, antara lain potong bekalan air, bekalan api...seterusnya termasuklah menghadapkan mereka ke mahkamah,” katanya kepada pemberita pada Program Ramah Mesra Taman Muafakat Dulang di sini hari ini.

Mukhriz berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar tempatan (Berita Harian) semalam mengenai kualiti udara di Bakar Arang, Sungai Petani berada dalam keadaan tercemar dipercayai berpunca daripada beberapa kilang kitar semula yang kebanyakannya berasaskan sisa plastik di kawasan itu.

Dalam laporan itu mendakwa kawasan Bakar Arang berkemungkinan berisiko mengalami nasib seperti di Pasir Gudang, Johor Bahru yang berlaku pencemaran udara dipercayai berpunca daripada kilang barangan kitar semula sehingga didakwa menjejaskan kesihatan penduduk.

Beliau berkata sebelum ini terdapat kilang yang diarahkan berpindah ke Bukit Selambau dengan kilang mereka yang asal ditutup dan pengusaha kilang itu dibenarkan beroperasi seperti biasa bagaimanapun pihak kilang perlu mengikuti syarat tertentu supaya tidak melakukan pencemaran.

Selain itu, Mukhriz turut mengakui meskipun tindakan telah pun diambil pihak berkuasa namun pihaknya masih menerima aduan daripada orang ramai yang memaklumkan terdapat aktiviti pada waktu malam apabila kelihatan seperti asap serta bauan busuk dipercayai berpunca dari kilang di situ.

“Benda macam ini dilaporkan kepada JAS dan mereka datang untuk mengambil tindakan sepatutnya...saya dimaklumkan ada juga tindakan di mana ada menggunakan kod kastam yang sah iaitu bahan plastik yang bersih tetapi kontena itu mungkin depan pintu sahaja ada bahan yang bersih, (tetapi) di belakang dalam itu ada bahan tak menepati syarat,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel