Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pavilion Halal Taiwan pamer inovasi teh mutiara dan buah unik dari Taiwan


Tarikh kemaskini: 06/07/2019




Oleh Wan Nadia Khairani Wan Chik / Diah Nor Iscahyono Mohd Jaiz

GEORGE TOWN, 6 Julai (Bernama) -- Taiwan, negara yang memperkenal minuman teh mutiara atau 'Bubble Tea', tidak ketinggalan mengambil peluang mengetengahkan ramuan halal serta teknologi terkini pembuatan minuman itu di Ekspo Taiwan 2019. 

Teknologi periuk pintar ‘Bubble Tea’ ciptaan Yung Soon Lih Food Machine Company Limited berjaya mencuri tumpuan pada eskpo itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Pulau Pinang di sini.

Eksekutif Kanan Jualan dan Pemasaran Sym Equipment Sdn Bhd, Alex Yong berkata ciptaan itu mampu mempercepat proses penghasilan minuman, selain mampu memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.

"Dengan memperkenal peralatan ini, kami percaya ia boleh membantu usahawan industri teh mutiara menjimatkan masa dan meningkatkan konsistensi penyediaan minuman ini, pada masa sama mengurangkan kos pekerja."

"Peralatan ini sudah terjual di pasaran Malaysia walaupun baru diperkenal dalam tempoh tidak sampai setahun. Ini perkembangan yang baik buat kami," katanya ketika ditemui Bernama Radio pada Majlis Perkongsian Produk Halal Taiwan sempena Ekspo Taiwan 2019 hari ini.

Katanya peralatan itu dijual sejak Oktober tahun lepas menerusi wakil pengedarnya yang sah, Sym Equipment Sdn Bhd, mendapat permintaan yang menggalakkan dari seluruh dunia dan dijual dengan harga pasaran RM6,000 seunit.

Pameran edisi ketiga itu turut menampilkan syarikat pengeluar Bahan Mentah Masakan halal serta produk pertanian berkualiti tinggi.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Awam V&T International Company Limited, Tom Liu berkata syarikatnya kini memberi tumpuan kepada eksport buah Aiyu, yang hanya terdapat di Taiwan di pasaran Malaysia.

Beliau berkata buah itu yang mempunyai pelbagai khasiat dan boleh diproses menjadi produk minuman organik, khusus bagi negara bercuaca panas.

"Cuaca panas di Taiwan agak sama seperti di Malaysia. Saya minum banyak air sepanjang berada di sini.

"Oleh itu kami mencari wakil pengedar serta peluang untuk memperkenal buah Aiyu kepada penduduk Malaysia. Saya lihat banyak buah serta bahan makanan import yang dijual di pasar raya di negara ini, maka kami optimis akan mendapat peluang yang sama."

Ekspo Taiwan 2019 juga disertai pempamer lain seperti Shih Chen Foods, FuGann Enterprise, Anyong Biotechnology Inc dan Kuojer Enterprise yang menampilkan produk halal seperti teh susu segera, kerisik, bahan mentah masakan serta pati ikan premium.

Pada ekspo itu juga berlangsung pelancaran Pameran Makanan Halal Taiwan Mydin, yang dihadiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA), Walter S.M Yeah dan Pengurus Besar Penang International Halal Hub (Halal Penang), Mohd Firham Ghouse.

Selain mempamerkan pelbagai makanan dan minuman halal, Pavilion Taiwan Halal juga mengetengahkan produk kesihatan dan kecantikan.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel