Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kanak-kanak perempuan maut tercekik kepingan roti


Tarikh kemaskini: 06/07/2019





KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia selepas empat hari menerima rawatan di Hospital Selayang, di sini, kerana tidak sedarkan diri selepas dilapor tercekik kepingan roti di rumah pengasuh di sebuah pangsapuri di Selayang, Isnin lepas.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof ketika dihubungi dan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan di hospital berkenaan.

Beliau berkata pegawai perubatan itu memaklumkan menerima kanak-kanak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana didakwa tercekik roti di rumah pengasuhnya pada kira-kira 10 pagi.

“Waktu kanak-kanak itu berada di wad kecemasan Hospital Selayang, pegawai perubatan menemui cebisan roti semasa proses resusitasi (kaedah memulihkan pernafasan seseorang yang hampir maut secara tiba-tiba) berjalan.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan pada kira-kira 10.39 pagi pada Khamis lepas,” katanya.

Samsor berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah ‘Hypoxic Ischaemic Encephalopathy (HIE)’ dengan kegagalan beberapa organ.

Beliau berkata HIE berlaku apabila mangsa tidak memperoleh oksigen dan aliran darah secukupnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 terhadap pengasuh bayi terbabit.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Peserta program bimbingan INSKEN raih jualan RM8.89 juta

 
     

Lapan nelayan hilang di perairan Tambisan

 
     

Polis siasat pagar rumah wartawan disimbah cat merah

 
     

Sekolah Tamil pupuk perpaduan menerusi sambutan Ponggal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel