Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Taman Botani Negara Shah Alam di buka semula hari ini


Tarikh kemaskini: 07/07/2019





SHAH ALAM, 7 Julai (Bernama) -- Taman Botani Negara di Bukit Cerakah di sini, yang ditutup sejak awal Mac lalu, dibuka semula kepada orang ramai hari ini.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhudin Hassan berkata pembukaan semula taman botani itu lebih awal adalah bertujuan membolehkan orang ramai melakukan aktiviti riadah bersama keluarga.

"Taman botani ini, sebelum ini ditutup kerana kerja pembersihan dan pemulihan akibat kejadian ribut yang melanda awal Mac lalu.

"Namun hari ini kita nak menguar-urakan kepada orang ramai bahawa kita buka kembali operasi taman ini tetapi terhad kepada laluan A sahaja, berikutan kawasan ini menjadi tarikan kepada orang ramai untuk aktiviti riadah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Fun Run sempena pembukaan semula taman botani itu, di sini.

Beliau berkata kawasan yang dibuka kepada orang ramai itu antaranya laman padi, taman rempah ratus, taman haiwan dan dewan keraian.

Katanya, walaupun kawasan berkenaan masih dalam kerja baik pulih, tetapi orang ramai masih boleh melakukan aktiviti riadah selain melakukan lawatan untuk tujuan pendidikan.

"Di laluan A ini ada sedikit kemudahan yang perlu di baik pulih lagi ini termasuklah di taman haiwan yang mana berlaku kerosakan di kandang haiwan kerana dihempap pokok akibat ribut.

"Kawasan lain seperti taman rempah ratus dan laman padi tidak terjejas, kita harap laman padi juga akan dapat menghasilkan padi dalam tempoh terdekat ini yang mana pengunjung berpeluang untuk turun ke bendang melihat sendiri proses menuai padi," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Sallehhudin berkata pihaknya berharap menjelang Jan tahun depan, kesemua fasiliti di taman botani itu dapat dibuka sepenuhnya kepada pengunjung.

Beliau berkata buat masa ini kawasan yang masih belum dapat beroperasi ialah tapak fasiliti membabitkan aktiviti sukan lasak.

"Kawasan yang masih diselenggara ialah dilaluan B dan C yang membabitkan kawasan pengembaraan seperti laluan merentas hutan, berbasikal dan aktiviti sukan lasak yang lain," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel