Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JAINS sasar semua premis makanan di Negeri Sembilan miliki sijil halal menjelang 2023


Tarikh kemaskini: 08/07/2019





SEREMBAN, 8 Julai (Bernama) -- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) menyasarkan semua premis penyedia makanan halal di negeri ini memiliki sijil halal menjelang 2023.

Pengarahnya Mohd Zaidi Ramli berkata untuk tujuan itu, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mensyaratkan kepada pemilik premis yang mahu memperbaharui lesen perniagaan perlu memiliki sijil halal.

Katanya perkara itu dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya tiga tahun akan datang memandangkan kesedaran di kalangan peniaga belum tinggi.

“Aspek halal bukan sahaja menyentuh mengenai cara dan bahan yang digunakan sebaliknya turut meliputi peralatan yang digunakan. Misalnya ada peniaga menggunakan berus untuk menyapu minyak terhadap ayam dimasak yang diperoleh daripada pembekal yang halal namun tidak menyedari bulu berus yang digunakan daripada binatang yang haram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Ziarah Halal Tour di sini. Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Noraini Ab Wahab dan Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Mohd Tarmimi Rashid.

“Kita galakkan sesiapa yang menyediakan perkhidmatan makanan bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga kepada orang bukan Islam supaya memohon sijil halal. Buat masa sekarang kita dalam peringkat memberi bimbingan dan penerangan bagi mewujudkan kesedaran di kalangan peniaga dan masyarakat mengenai aspek halal.

Mohd Zaidi berkata setakat ini, sebanyak 24 hotel di negeri ini memiliki pensijilan halal, hospital (tujuh), pengusaha katering (tiga) dan premis makanan (14), setakat ini.

Sementara itu,  Mohd Tarmimi berkata sebanyak 12 kes berpandukan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011 direkodkan kementerian itu tahun ini dengan tujuh daripadanya telah dikompaun manakala baki dalam proses pendakwaan di mahkamah serta dalam siasatan.

“Kesalahan yang dilakukaan antaranya menggunakan sijil halal pembekal dan bukannya pemilik kedai dan ini mengelirukan pengguna seolah-olah premis tersebut mempunyai pensijilan halal.

Ziarah Halal Tour yang memasuki siri kedua itu merupakan inisiatif JAINS untuk memberi penerangan kepada peniaga mengenai aspek halal dan ia disertai Jabatan Kesihatan negeri, KPDNHEP, PBT, Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan badan bukan kerajaan.

-- BERNAMA

  

  


 

   

 
 
     
   
 

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel