Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tugas berat menanti Hendrawan


Tarikh kemaskini: 08/07/2019




KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Dua tugas berat menanti jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan yang bukan sahaja perlu mempersiapkan pemain ke Sukan Olimpik 2020, tetapi juga persediaan ke Piala Thomas.

Beliau, yang dipertanggungjawabkan untuk 'menggilap' Lee Zii Jia, Soong Joo Vern, Cheam June Wei dan Lim Chong King, telah diberi mandat oleh Pengarah Kejurulatihan Wong Choong Hann untuk memperkuatkan barisan pemain perseorangan lelaki untuk menghadapi dua saingan itu.

Selama ini, harapan negara banyak bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei untuk menyumbang mata dalam acara berpasukan itu (Piala Thomas).

"Choong Hann sudah bagi target… utamanya memang Olimpik tapi pada masa sama Thomas Cup juga penting kerana saya harus persiapkan tiga atau empat pemain yang setaraf yang mampu menyumbang mata kerana selama ini Thomas Cup, selalu kita ada Lee Chong Wei sahaja. 

"Ia satu tugas yang berat. Saya sudah bincang dengan coach Misbun (Datuk Misbun Sidek) dan Indra Wijaya. Saya percaya kita boleh sukses kalau kita bekerjasama," katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

Ditanya mengenai rejim latihan yang akan digunakan kepada empat bintang meningkat naik dan bakal pengganti Chong Wei, jurulatih dari Indonesia itu berkata, apapun perancangan yang dibuat, ia harus memerlukan komitmen daripada pemain itu sendiri.

Tidak ada hasilnya jika hanya jurulatih yang ghairah menyediakan pemain terbaik sedangkan pemain sendiri tidak mempunyai kemahuan yang seiring dengan sasaran.

"Seperti Datuk Lee Chong Wei katakan, apa yang pemain mahu, mereka harus tahu. At the end (Akhirnya) kalau coach paksa dan marah mereka, tapi pemain tidak mahu, memang akan susah. Apa lagi sekarang ini, saya lihat pemain jauh berbeza dari zaman saya dulu," katanya.

Sabtu lepas, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan Hendrawan akan terus menabur bakti sehingga kontraknya tamat pada Jun 2020.

Mohamad Norza berkata, Hendrawan akan meneruskan perancangan yang disediakan untuk melatih Chong Wei kepada empat pemain perseorangan yang ditugaskan itu.

Datuk Misbun Sidek pula kekal sebagai Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki negara yang ditugaskan untuk melatih bakat baharu seperti Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Tan Jia Wei, Ng Tze Yong serta pemain muda lain.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel