Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peniaga Pasar Ketereh kesal penempatan sementara baiki bumbung lambat disediakan


Tarikh kemaskini: 08/07/2019





KOTA BHARU, 8 Julai (Bernama) -- Kira-kira 40 peniaga di Pasar Ketereh menyatakan rasa tidak puas hati berhubung isu baik pulih bumbung pasar berkenaan.

Penjaja kecil surat khabar dan kuih di pasar berkenaan, Ismadi Mohd Nor, 43, mendakwa, peniaga di situ meluahkan rasa kecewa apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam (MDK-PI) belum menyiapkan tempat perpindahan sementara untuk mereka.

"Peniaga memang mahu bumbung ditukarkan sebab bocor teruk, namun apa yang dikesalkan ialah tempat peralihan sementara belum siap, tetapi kontraktor yang dilantik sudah menjalankan kerja membuang bumbung lama.

"Sepatutnya, siapkan dulu tempat (khemah) sementara, barulah kerja-kerja menukar bumbung dibuat," dakwanya kepada Bernama ketika ditemui di pasar tersebut hari ini.

Menurutnya, sebelum ini pihak peniaga ada membuat aduan mengenai bumbung pasar bocor terutama pada hari hujan atau musim banjir dan masalah itu mendapat perhatian daripada MDK-PI.

Ismadi mendakwa, bagi kes terbabit, mengikut perjanjian kontrak, PBT perlu menyediakan tapak sementara kepada peniaga yang terlibat jika ada penyelenggaraan atau baik pulih di pasar.

"Kami bukan ingin memanjangkan isu tetapi merayu supaya penyediaan tempat diberikan untuk berpindah, namun hari ini beberapa kedai seperti pakaian dan makanan terpaksa ditutup," katanya.

Peniaga lain, Embong Abdullah, 49, yang berniaga roti canai berkata memandangkan kedai makannya turut terlibat untuk peringkat permulaan, dia terpaksa menutup kedai dalam waktu terdekat.

"Apabila kedai ditutup, ia boleh mendatangkan kerugian kepada peniaga di pasar ini, sedangkan kami ada komitmen dengan peminjam seperti Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN).

"Sudah pasti keadaan ini merisaukan kami, jadi kami berharap supaya PBT segera menyiapkan tempat pasar sementara untuk keselesaan dan kemudahan kami berniaga," katanya.

Mengulas isu tersebut, Setiausaha MDK-PI, Nik Fazul Fazlee Nik Othman yang ditemui Bernama berkata, sebenarnya makluman berhubung kerja baik pulih bumbung Pasar Ketereh sudah dibuat sejak Ramadan lepas dan dua minggu lepas pemakluman baru juga dilakukan untuk pengetahuan peniaga.

"Bagaimanapun, kita terpaksa menangguhkan hasrat baik itu di tiga lokasi untuk penempatan sementara berikutan peniaga enggan berpindah ke lokasi cadangan,” katanya.

Kata beliau, pihaknya sudah bertimbang rasa dengan memberikan peluang berpindah sehingga Sabtu lepas dan kerja baik pulih bermula semalam.

"Cuma kami akui berlaku sedikit kelemahan apabila kerja pemasangan tempat sementara belum disiapkan sepenuhnya dan dijangka siap petang ini.

"Kami sebenarnya mendengar masalah peniaga, mahu membantu mereka dengan mengangkat aduan atau permasalahan yang timbul berikutan bumbung lama berusia lebih 30 tahun, namun atas kelemahan yang sedikit, usaha kami diperbesarkan dan berharap selepas siap tempat sementara, semuanya akan berpuas hati," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel