Nelayan perlu berani ceburi aktiviti tangkapan ikan laut dalam
Tarikh kemaskini: 08/07/2019

BACHOK, 8 Julai (Bernama) -- Nelayan negara ini perlu lebih berani untuk menceburi aktiviti penangkapan ikan laut dalam berbanding kekal sebagai nelayan tradisional.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, setakat ini hanya 1,200 lesen kelas itu dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) termasuk 85 pengusaha di Kelantan manakala 54,000 lagi adalah lesen kelas A,B dan C.
"Kita mahu nelayan lebih berani dan proaktif mengambil peluang memohon kelas C2 agar nelayan dapat berubah menjadi pemain industri. Memang bagi memiliki kelas C2 memerlukan modal yang agak besar namun nelayan boleh memohon pelbagai dana dan pembiayaan yang disediakan kerajaan bagi tujuan itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Interaksi Bersama Nelayan Bachok, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah LKIM Kelantan, Zarina Abd Latiff dan Pengarah DOF Kelantan, Nazri Ishak.
Satu sesi dialog turut diadakan bersama lebih 100 nelayan tempatan bagi memberi peluang menyuarakan permasalahan yang berkaitan aktiviti penangkapan ikan.
Pada majlis sama beliau menyampaikan bantuan berupa pukat dan kotak ikan bernilai RM10,000 kepada 10 orang nelayan selain menziarahi tiga nelayan uzur di sekitar jajahan Bachok.
Muhammad Faiz berkata kerajaan sentiasa berusaha membantu golongan nelayan negara ini melalui pelbagai usaha termasuk meneruskan pemberian elauan sara hidup.
Katanya, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM8 juta sebulan bagi menyediakan elaun tersebut kepada kira-kira 40,000 nelayan di seluruh negara.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata kerajaan juga serius dalam menangani aktiviti pencerobohan nelayan asing di perairan negara melalui penubuhan pasukan khas dengan kerjasama empat kementerian diketuai Kementerian Dalam Negeri.
-- BERNAMA
|