1d2u0BR-zg4 Jenazah Tengku Besar Putra Selangor dimakamkan di Makam Diraja Klang
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jenazah Tengku Besar Putra Selangor dimakamkan di Makam Diraja Klang


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





KLANG, 9 Julai (Bernama) -- Jenazah Tengku Besar Putra Selangor, Tengku Ismail Shah Alhaj, ayahanda saudara kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mangkat malam tadi selamat dimakamkan di Makam Diraja Klang, di sini, hari ini.

Almarhum mangkat di Pusat Perubatan Subang Jaya dekat sini pada pukul 8 malam tadi, pada usia 84 tahun kerana sakit tua.

Almarhum Tengku Ismail Shah yang diputerakan pada 26 Jun 1935 merupakan anakanda bongsu daripada tujuh anakanda Sultan Selangor ketujuh, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.

Almarhum juga merupakan adinda kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj iaitu ayahanda Sultan Sharafuddin.

Terdahulu, jenazah Tengku Ismail Shah dimandi dan disolatkan di Masjid Istana Diraja di Istana Alam Shah di sini, dengan diimamkan oleh Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.

Jenazah kemudiannya dibawa menaiki van jenazah ke Makam Diraja tersebut.

Menggunakan pengusung diraja dan diiringi Jejawat Diraja, jenazah Tengku Ismail Shah dibawa ke makam dan selamat dimakamkan pada 11.30 pagi.

Turut berangkat menziarahi jenazah Almarhum adalah Sultan Sharafuddin diiringi Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah.

Sultan Sharafuddin kemudiannya memulakan upacara menyiram air mawar diikuti kerabat Diraja yang lain.

Hadir sama adalah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Selain kerabat Diraja dan Orang-orang Besar Istana Selangor, rakyat jelata turut memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel