Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Maidam sedia empat kursus kemahiran untuk anak asnaf


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





KUALA TERENGGANU, 9 Julai (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan RM882,000 bagi menyediakan kursus kemahiran belia untuk anak-anak asnaf di negeri ini sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M Rozi Bidin berkata empat kursus yang disediakan itu termasuklah berkaitan pengendalian jentera seperti jengkaut dan kren serta pemasangan paip gas yang diadakan dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia (ABM) di Jenagor, Hulu Terengganu.

"Pada tahun ini, Maidam menyediakan sebanyak 72 tempat untuk anak-anak asnaf yang layak yang mana mereka perlu mengikuti kursus ini selama tiga hingga empat bulan di ABM.

"Selain membiayai kursus tersebut secara percuma, anak asnaf tersebut juga akan menerima elaun sebanyak RM150 sebulan," katanya kepada Bernama hari ini.

Pada tahun lepas, 13 anak asnaf telah mengikuti kursus pengendalian kren selama dua bulan dan apabila tamat kursus, kesemua mereka telah mendapat pekerjaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata anak asnaf yang menyertai program itu akan tinggal di asrama ABM Jenagor, mendapat perlindungan takaful dan makan minum turut disediakan percuma kepada mereka.

"Istimewanya program ini ialah jaminan peluang pekerjaan setelah tamat latihan dengan persijilan yang diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

"Saya berharap agar anak asnaf yang layak segera membuat permohonan untuk menyertai kursus ini agar kemahiran yang diperoleh nanti dapat dijadikan sumber pendapatan mereka," katanya.

Permohonan untuk kursus tersebut kini telah dibuka sehingga 30 Julai dan mereka yang berminat boleh membuat permohonan di Maidam.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel