Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan cadang tambah tempat tahanan vesel asing


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan bercadang menambah tempat tahanan vesel  bagi menempatkan bot dan kapal asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan di perairan negara ini. 

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu bagi menampung lambakan bot dan kapal asing di pangkalan jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), yang sudah hampir penuh.

"Kita sedang memikirkan langkah-langkah seterusnya bagaimana hendak mewartakan tempat-tempat lain yang sesuai dan saya percaya akan ada peningkatan dan penahanan lebih banyak, jadi ada keperluan menyediakan ruang kapal itu," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.  

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PAS-Kuala  Terengganu) yang ingin tahu usaha kerajaan menangani jumlah bot dan kapal asing yang  semakin bertambah di tempat tahanan sedia ada. 

Sementara itu, Muhyiddin berkata 44 vesel ditahan dan 511 vesel diperiksa dalam operasi bersepadu Ops Naga yang dijalankan beberapa agensi berkaitan seperti APMM, Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Laut dan Jabatan Perikanan dari 2 hingga 31 Mei lepas.

Beliau berkata Ops Naga fasa kedua telah diteruskan dengan pelancaran Ops Naga Barat bermula 1 Jun lalu, berfokuskan operasi di sebelah Pantai Timur Semenanjung sehingga aktiviti pencerobohan nelayan asing di perairan negara dapat dibanteras secara maksimum.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu meningkat tujuh peratus

 
     

Malaysia harus berkembang pacu usaha ke arah kelestarian masa depan - Sultan Nazrin

 
     

Polis tahan lelaki dakwa Nora Anne dirogol Orang Asli

 
     

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel