Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jawatankuasa Khas tangani isu bangunan usang, terbengkalai akan diwujudkan di setiap PBT - Exco


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





SEREMBAN, 9 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Khas di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini akan ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah isu bangunan usang dan terbengkalai, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong.

Katanya, beliau menyambut baik cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon dalam usaha untuk menghidupkan kembali bangunan usang dan bersejarah yang terdapat di Seremban.

“Jawatankuasa khas berkenaan bangunan usang dan terbengkalai ini ditubuhkan bagi mendapatkan statistik untuk menyelesaikan isu masalah bangunan usang dan petang ini juga kita akan mengadakan mesyuarat tindakan PBT di mana saya akan arahkan semua PBT menubuhkan jawatankuasa ini.

"Sebenarnya arahan ini telah diturunkan oleh pihak berkuasa negeri kepada semua PBT kerana selain pembangunan baru, kita juga perlu memastikan bangunan lama perlu dijaga dan dipelihara dengan baik," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Teo juga berkata pemilik terbabit diminta menghubungi pihak Majlis perbandaran Seremban (MPS) atau pejabat ADUN Bukit Kepayang supaya tampil berbincang untuk bersama-sama menghidupkan bangunan lama.

‘’Ini disebabkan kebanyakan bangunan usang di Seremban ini mempunyai nilai sejarah tersendiri cuma sebelum ini belum ada usaha progresif untuk menghidupkan kegemilangan sejarah bangunan itu.

‘’Perkara ini bukan sahaja kita laksanakan di Seremban tetapi di seluruh PBT bagi mengurangkan isu bangunan terbiar dan terbengkalai ini,” katanya.

Sementara itu, Tan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon turut memberi dua cadangan bagi menyelesaikan isu bangunan usang di bandar Seremban iaitu menganjurkan pertandingan kepada usahawan muda dan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Kita boleh mengadakan pertandingan khusus kepada usahawan muda berumur bawah 45 tahun supaya mereka memberi idea bagaimana untuk menambah baik bangunan usang seperti menjalankan perniagaan. Jadi, pemenang ini dapat menyewa bangunan itu secara percuma bagi tempoh setahun.

"Sekiranya bangunan itu milik kerajaan, kita boleh menyewakannya kepada NGO secara percuma atau dengan kadar sewa rendah untuk jalankan aktiviti dan ini sebagai satu usaha menambah keceriaan bandar selain meningkatkan aktiviti perniagaan dan peluang pekerjaan kepada orang ramai," katanya.

Terdapat 740 bangunan lama dikenal pasti di bandar Seremban di mana 63 bangunan berkenaan tidak berpenghuni dan usang.

"Tiga puluh satu daripada 63 bangunan itu mempunyai rekod cukai taksiran di pihak majlis manakala  302 notis dikenakan kepada pemilik bagi mengambil langkah-langkah keselamatan dan notis membersihkan bangunan sepanjang 2013 sehingga 2019. Tujuh unit bangunan telah dibawa ke mahkamah di mana dua daripadanya telah selesai dan lima lagi masih dalam siasatan," katanya.

Beliau juga berkata, 179 unit bangunan di bandar Seremban telah menyertai program mengecat sejak 2013.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel