Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penggabungan sekolah di Sarawak dilaksana jika dipersetujui ibu bapa, komuniti


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Penggabungan Sekolah Kurang Murid (SKM) di Sarawak akan mengambil kira pandangan ibu bapa, murid dan komuniti setempat sebelum ia dilaksanakan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Beliau berkata kementerian melalui Jabatan Pendidikan Sarawak dengan kerjasama kerajaan negeri sedang dalam proses melaksanakan libat urus bersama ibu bapa dan komuniti setempat bagi mendapatkan persetujuan berhubung perkara itu.

“Kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk menggabungkan SKM tanpa persetujuan ibu bapa, murid dan komuniti setempat kerana bagi kita akses kepada pendidikan itu adalah paling penting,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) berkaitan jumlah sekolah menengah dan rendah yang bakal dicantum di Sarawak dan adakah perbincangan dibuat dengan masyarakat setempat berhubung perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Teo berkata sehingga kini kementerian tiada cadangan untuk menggabungkan sekolah menengah yang berstatus kurang murid manakala bagi sekolah rendah, pihaknya tidak menetapkan bilangan sebenar sekolah rendah yang perlu digabungkan kerana pertimbangan ditangani secara kes demi kes.

Katanya, ia tertakluk kepada kriteria seperti enrolmen yang sangat rendah dan tidak optimum dari segi pengurusan sekolah, keadaan fizikal atau persekitaran sekolah yang tidak selamat atau kondusif selain terdapat sekolah yang sama aliran dalam jarak yang boleh diakses.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu meningkat tujuh peratus

 
     

Malaysia harus berkembang pacu usaha ke arah kelestarian masa depan - Sultan Nazrin

 
     

Polis tahan lelaki dakwa Nora Anne dirogol Orang Asli

 
     

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel