Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tragedi perjalanan untuk rawatan fisioterapi


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





PEKAN, 9 Julai (Bernama) -- Perjalanan tiga rakan untuk menjalani rawatan fisioterapi bertukar tragedi selepas kereta dinaiki terperosok di belakang lori 12 tan di Kilometer 19 Jalan Chini-Kuantan berhampiran Kampung Batu Gong di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Amran Sidek berkata kejadian pada 8.10 pagi itu menyebabkan seorang daripada mereka Rokiah Hassan, 72, maut akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi, Jamilah Sahari, 53, patah bahu kanan. 

Turut cedera ialah suami Rokiah, Che Mat Lateh, 70, yang memandu kereta pelbagai guna (MPV) Perodua Alza juga parah di kepala dan rusuk sementara seorang lagi penumpang Khadijah Ausni, 52, tidak cedera. 

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mangsa dari arah Chini menuju ke Muadzam Shah merempuh belakang lori yang sedang membelok ke simpang kanan menyebabkan bahagian depan kereta terperosok ke bawah lori," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Amran berkata pemandu treler yang berusia 34 tahun dari Segamat, Johor tidak mengalami kecederaan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, anak sulung arwah, Salasiah Che Mat, 51, berkata ibunya mengajak dua rakannya untuk menumpang kereta ke Hospital Muadzam Shah, Rompin dekat sini, selepas mengetahui mereka juga mempunyai janji temu rawatan fisioterapi di sana. 

Katanya, ibunya mula menjalani rawatan itu sejak empat tahun lepas kerana sakit di belakang badan dan tangan, dengan janji temu ditetapkan setiap bulan. 

"Rutin ayah untuk menghantar emak ke hospital dan pagi ini, saya sempat berjumpa dan berbual dengan emak sebelum mereka bergerak... malah saya mengingatkan ayah supaya memandu dengan berhati-hati," katanya semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan di sini, hari ini. 

Salasiah berkata jenazah ibunya akan dikebumikan di Felda Chini 1 di sini, selepas selesai dibedah siasat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel