Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemulihan, kebajikan aspek penting dalam tindakan perundangan terhadap pesalah kanak-kanak


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





SEREMBAN, 9 Julai (Bernama) – Pemulihan dan kebajikan adalah aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam melakukan sebarang tindakan perundangan terhadap pesalah kanak-kanak, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ini disebabkan kanak-kanak mudah terkesan dari aspek psikologi dan mereka masih mempunyai tempoh masa yang panjang untuk dididik dan diasuh bagi mematangkan fikiran serta tindakan dari aspek pendidikan.

“Dari aspek hukuman, teori pemulihan merupakan bentuk hukuman yang terbaik untuk dipertimbangkan terhadap pesalah kanak-kanak kerana mereka masih berada dalam fasa pembelajaran dan belum sebati dengan jenayah atau kesilapan yang dilakukan.

“Saya yakin program kaunseling dan kewujudan institusi pemulihan akhlak dapat mengubah pesalah kanak-kanak ini untuk menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam ucapan pada perasmian Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Negeri Sembilan Kali Ke-5 Tahun 2019 (Konvep5) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Lenggeng Suhaimi Kassim.

Aminuddin berkata menerusi hukuman berbentuk kaunseling serta pemantauan atau pengawasan secara berkala, perkembangan dan perubahan pesalah ini dapat dan diawasi oleh pihak berwajib.Kanak-kanak  juga berhak untuk diberikan peluang bagi memulakan hidup baharu.

Beliau berkata sebagai kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan dan kepentingan rakyat, pihaknya mahu melahirkan kanak-kanak yang positif serta bebas daripada kesalahan jenayah kerana mereka merupakan aset yang bakal menerajui negara pada masa akan datang.

“Melalui perbincangan dengan kehadiran pakar perundangan sivil dan syariah serta ahli akademik yang kaya dengan maklumat dan dapatan hasil dari kajian lapangan selain terlibat secara langsung dalam bidang berkaitan kanak-kanak, ia dapat merungkai segala permasalahan.

“Selain itu, ia juga dapat mencadangkan solusi terbaik ke arah penambahbaikan prosedur perundangan dan pengurusan melibatkan pesalah kanak-kanak di Malaysia secara amnya dan di Negeri Sembilan secara khususnya,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     

Yong bercuti, beri tumpuan kepada perbicaraan kes rogol

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel