Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Golongan profesional dipelawa sertai APM Melaka sebagai pegawai bersekutu


Tarikh kemaskini: 10/07/2019





MELAKA, 10 Julai (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka mempelawa golongan profesional untuk menyertai pasukan tersebut sebagai pegawai bersekutu bagi memantapkan lagi mutu perkhidmatannya.

Pengarah APM Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata ahli akademik, ahli perubatan, ahli koporat, ahli politik dan pegawai kerajaan yang berminat boleh terus datang ke pejabat APM Melaka untuk  mendaftarkan diri.

“Sejak dahulu lagi, APM sentiasa mengalu-alukan penglibatan golongan profesional untuk bersama-sama kita sebagai pegawai bersekutu dan sambutan yang diterima di negeri ini  amat menggalakan.

“Kita berharap lebih ramai lagi golongan ini menyertai APM khususnya mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang perubatan untuk memberi khidmat kepada masyarakat ketika ditimpa kecemasan, kemalangan atau bencana,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata mereka yang berdaftar akan diberi kursus latihan asas oleh jurulatih APM sebelum dibenarkan menyertai mana-mana operasi APM.

Effendy berkata pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan daripada golongan belia yang berminat dengan aktiviti lasak.

“Kita mendapat maklum balas positif  daripada ibu bapa bahawa anak mereka berubah setelah menyertai APM, malah dikatakan lebih berdisiplin daripada sebelumnya,” katanya,

Effendy berkata ia selaras dengan seruan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta golongan belia menjadikan APM  sebagai sebahagian daripada cabang khidmat sukarelawan yang boleh mereka sertai.

Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau mahu APM menarik lebih ramai generasi muda menyertai pasukan sukarela itu sebagai langkah membentuk golongan itu menjadi lebih berkemahiran, berdisiplin dan memiliki jati diri tinggi.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel