Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemandu e-hailing dipenjara, sebat kerana menyamun


Tarikh kemaskini: 10/07/2019





KUANTAN, 10 Julai (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang pemandu e-hailing menjalani hukuman penjara 24 tahun dan empat bulan serta sembilan sebatan, atas kesalahan menyamun sembilan premis perniagaan di daerah ini. 

Hakim Dazuki Ali yang membuat keputusan itu selepas menerima pegakuan salah tertuduh Mohd Rozaini Roslan, 30, turut memerintahkan supaya hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 24 Jun lepas. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sembilan premis perniagaan sekitar Kuantan, melibatkan kerugian wang tunai RM10,464 dan seutas rantai emas antara 21 Mei hingga 18 Jun lalu dengan bersenjatakan pisau, parang, besi panjang serta rantai besi. 

Antara premis perniagaan terlibat ialah klinik, kedai haiwan, farmasi, kedai kasut, kedai runcit dan pusat jualan pakaian yang mana semasa kejadian, semua premis itu dijaga oleh pekerja wanita. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. 

Tertuduh yang berbadan kecil itu pada rayuannya, mendakwa terpaksa melakukan kesalahan itu kerana tertekan untuk menjelaskan bayaran pinjaman wang ah long, yang dikatakan telah mengugut untuk datang ke rumah. 

"Saya bimbang dengan keselamatan keluarga kerana saya ada seorang anak berusia lapan tahun dan isteri pula sarat mengandung tujuh bulan. Saya bimbang ah long membuat kacau kerana mereka mahu menyimbah cat jika saya gagal (bayar pinjaman). 

"Semua hasil samun diberikan kepada ah long... saya langsung tidak menggunakannya untuk belanja anak isteri. Saya sedar saya tak dapat melihat anak kedua dilahirkan, tapi saya merayu diberikan hukuman ringan supaya berpeluang menjaganya," katanya. 

Dia mendakwa hanya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM1,200 manakala isterinya tidak bekerja dan mereka menumpang di rumah emak mertua di Felda Neram 1 di Kemaman, Terengganu.  

Timbalan Pendakwa Raya Wahidah Zainal Abidin bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh bersenjata dan melibatkan ramai mangsa, selain boleh menjadi pengajaran kepada masyarakat. 

Pada penghakimannya, Dazuki berkata hukuman mengambil kira faktor tertuduh bersenjata yang boleh mencederakan mangsa selain dilakukan secara terancang berdasarkan tindakan dia menunggu waktu sesuai untuk masuk ke premis terlibat.

"Walaupun kamu mengatakan terdesak dengan ah long, ini bukan cara untuk menyelesaikannya. Sebaliknya ia menimbulkan masalah yang lebih besar. Ada cara yang betul di sisi undang-undang untuk menyelesaikannya," katanya. 

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel