Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ahli perniagaan didakwa palsukan dokumen, tipu urusan jual beli tanah


Tarikh kemaskini: 10/07/2019





KLANG, 10 Julai (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu memalsukan dokumen dan menipu urusan jual beli tanah membabitkan kerugian RM2.1 juta, empat tahun lepas.

Tertuduh, Tan Sing Sze, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut yang dibacakan kepadanya dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Razali Ariffin.

Mengikut pertuduhan pertama, Tan didakwa dengan curang menggunakan kad pengenalan dan borang 5DK (geran tanah) yang diketahuinya palsu untuk dianggap sebagai tulen.

Lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor pada 27 Okt 2015 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perdayaan terhadap Tan Hock Kian, 33, serta Lim Kean Woon, 37, dan secara curang mendorong mereka membeli tanah di pekan Kampung Kuantan, Kuala Selangor yang diperoleh secara penipuan dengan nilai tidak munasabah berjumlah RM2.1 juta.

Tan didakwa melakukan kesalahan itu di PDT Kuala Selangor pada 23 Nov 2015 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Alison Chan May Kam tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

“Namun, jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, saya memohon supaya jumlah jaminan untuk kedua-dua pertuduhan ditetapkan sebanyak RM50,000 selain Tan perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah,” katanya.

Razali membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan sebutan kes ditetapkan pada 9 Ogos ini.

Tertuduh yang diwakili peguam Adam B.H Yap kemudiannya membayar jaminan berkenaan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel