Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Warga emas ditahan dipercayai lakukan kelucahan melampau pada seorang kanak-kanak


Tarikh kemaskini: 10/07/2019





SEREMBAN, 10 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang warga emas yang dipercayai terlibat dalam perbuatan kelucahan melampau ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, seperti yang tular dalam sebuah video di Whatsapp dan Facebook, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan, ACP Wan Rukman Wan Hassan berkata suspek berusia 65 tahun yang merupakan seorang pemandu lori ditahan di lebuhraya Gopeng, Perak, kira-kira pukul 9.20 malam tadi.

“Semalam polis telah menerima laporan daripada ibu mangsa kira-kira pukul 3 petang ekoran tersebarnya satu video yang telah tular melalui aplikasi Whatsapp dan Facebook yang menunjukkan anak pengadu, dipaksa oleh suspek melakukan perbuatan kelucahan melampau di dalam sebuah kereta.

“Tindakan segera bagi mengesan suspek telah dijalankan anggota JSJ dan berjaya mengesan suspek yang ketika itu dalam perjalanan ke Padang Besar, Perlis, untuk menghantar barang menggunakan lori jentera berat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Wan Rukman berkata pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Waja dan dua buah telefon bimbit yang dipercayai mengandungi video tersebut.

Katanya berdasarkan siasatan polis mendapati keluarga mangsa telah mengenali suspek beberapa bulan yang lalu kerana mereka tinggal di kawasan perumahan yang berdekatan.

“Suspek telah mengambil kesempatan dengan memperdaya mangsa dan mengajak mangsa keluar untuk membeli barangan kegemaran mangsa seperti alat tulis dan makanan semasa ketiadaan ahli keluarga mangsa di rumah.

“Berdasarkan keterangan mangsa, perkara ini telah berlaku sebanyak tiga kali sekitar bulan lepas dan kejadian terakhir di mana mangsa telah dimbil di rumahnya dan dibawa ke kawasan parkir di Seremban dan telah melakukan kelucahan melampau ke atas mangsa secara paksa di dalam keretanya,” katanya.

Beliau berkata mangsa telah di bawa ke hospital untuk pemeriksaan dan disahkan tiada elemen rogol terhadap mangsa.

Katanya polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan suspek kini direman selama enam hari bermula hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Ekoran penularan maklumat ini semalam, polis setakat ini menerima 17 laporan polis yang dibuat orang awam di beberapa buah negeri melahirkan rasa tidak puas hati terhadap perbuatan suspek.

“Kita juga ingin jelaskan bahawa kereta terbakar yang dikatakan kereta suspek seperti yang tular bersama maklumat mengenai perbuatan suspek itu, adalah tidak benar… kereta yang terbakar itu tidak ada kaitan dengan tindakan kelucahan melampau yang dilakukan suspek ke atas mangsa,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel