Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hentikan serangan ke atas KOM - Noorul


Tarikh kemaskini: 10/07/2019





KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Bekas naib presiden, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed meminta pemerhati bebas, Datuk Mohd Musa Noor Mohd menghentikan serangan peribadi terhadap kepimpinan baharu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM),

Katanya, beliau tidak pasti mengenai motif Mohd Musa, yang juga bekas pengarah Pusat Prestasi Tinggi Olahraga Asia (HPTC), mempersoalkan prosedur pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KOM ke-16 pada 30 Jun lalu memandangkan ia diadakan mengikut peraturan.

Justeru, beliau meminta Mohd Musa untuk tidak mencampuri  urusan KOM bagi memastikan kepimpinan baharu diketuai Datuk S.M Muthu dapat menjalankan tugas dengan baik, terutamanya bagi memastikan skuad negara dapat meraih keputusan positif pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.

“Saya tidak tahu agenda Datuk Mohd Musa kerana beliau bukanlah perwakilan Pahang dan Persatuan Olahraga Pahang sendiri, tidak membuat bantahan pada AGM berkenaan.

“Kenapa orang ketiga yang bukan berada dalam gabungan KOM membuat bantahan, dan saya rasa ini tidak masuk akal dan saya tidak tahu (sama ada) beliau (Mohd Musa) membuat satu publisiti murahan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mohd Musa, yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Olahraga Daerah Temerloh, baru-baru membuat aduan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan dengan mendakwa wujud kesilapan perjalanan mesyuarat  tersebut, selain mempersoalkan pelantikan bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi sebagai Pengerusi Pemilihan AGM berkenaan.

Dalam pada itu, Noorul Ariffin, yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB),  berharap KOM dapat mempertimbangkan keputusan untuk melantik jurulatih pecut dari Amerika Syarikat, Dwayne I Miller sebagai ketua jurulatih negara yang baharu.

Beliau mendakwa masih terdapat beberapa bekas atlet negara yang mampu membantu meningkatkan prestasi skuad olahraga negara termasuk Hanafiah Nasir, Norsham Yoon dan Datuk Zaiton Othman.

Timbalan Presiden KOM, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar, baru-baru ini mengesahkan Miller akan berkhidmat bersama skuad olahraga negara bermula bulan depan. 

Untuk rekod, Miller pernah membantu pelari pecut Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x100m dengan mencatat rekod Olimpik.

Miller juga pernah meraih anugerah ‘Nike Coach of the Year’ dari badan induk olahraga Amerika Syarikat, USA Track and Field pada 2008.

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel