Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelan induk pembangunan sukan Terengganu yang lebih khusus dirangka


Tarikh kemaskini: 12/07/2019




KUALA NERUS, 12 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri sedang merangka Pelan Induk 10 Tahun Pembangunan Sukan Negeri Terengganu (2021-2030) bagi melonjakkan lagi negeri ini di persada sukan kebangsaan dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelan yang mengandungi strategi dan sasaran yang lebih khusus terhadap  acara sukan, selain perincian terhadap 43 jenis sukan di Terengganu itu antara lain bagi memastikan lebih ramai atlet negeri beraksi di peringkat antarabangsa.

“Sekarang kita ada paling kurang dua nama (atlet yang hebat) iaitu Mohd Azizulhasni Awang (jaguh berbasikal trek negara) dan Siti Rahmah Mohamed Nasir (atlet silat negara) di peringkat antarabangsa. Kita sasarkan pelan induk ini selepas 10 tahun kita berjaya menghantar lebih daripada dua nama.

“Kita letakkan sasaran yang realistik bagi setiap acara sukan yang kita ada. Kita tidak mahu pelan yang terlalu ideal tetapi tidak berpijak di bumi yang nyata,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan bengkel pelan induk itu di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Ibni Amin Busu.

Wan Sukairi berkata selepas melalui proses ‘pemurnian’ dalam tempoh satu atau dua bulan lagi, pelan induk itu akan dibukukan untuk dijadikan panduan bagi setiap persatuan sukan dalam mencapai sasaran mereka.

Selain itu, pelan induk itu juga bagi memastikan Terengganu menguasai sukan seperti bola sepak dan lawan pedang, selain daripada sukan berpotensi sedia ada seperti berbasikal dan perahu layar.

Sementara itu, bengkel Pelan Induk 10 Tahun Pembangunan Sukan Negeri Terengganu (2021-2030) yang berlangsung selama empat hari bermula Isnin dihadiri hampir 200 wakil setiap persatuan sukan bagi merangka pelan induk untuk sukan masing-masing.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel