Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nik Muhammad Aiman timba ilmu berharga daripada McCann


Tarikh kemaskini: 12/07/2019




KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Penyerang muda, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi berharap ilmu yang dipelajari daripada legenda Australia, Michael McCann, baru-baru ini, dapat memberi manfaat positif pada dirinya dalam membantu misi skuad hoki negara memburu slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Beliau berkata teknik, mengawal ruang dan posisi mudah untuk menjaringkan gol yang dicurahkan oleh McCann banyak mendatangkan manfaat kepada skuad Malaysian Tigers.

Menurutnya, McCann yang tidak lokek ilmu itu, banyak berkongsi teknik dan idea bernas dengan pemain sepanjang tempoh seminggu berada di Malaysia.

“Untuk bahagian serangan, kita banyak belajar dari segi teknik, jaga ruang dan McCann banyak memberi tunjuk ajar mengenai posisi mudah untuk melakukan jaringan,” katanya ketika ditemui di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini. 

Sebagai penyerang, Nik Muhammad Aiman berkata beliau akan cuba melakukan perubahan dari segi latitut ketika melakukan serangan, iaitu ilmu yang dipelajari daripada McCann seminggu yang lalu.

Selain itu, katanya, legenda itu juga mengajar teknik mengawal diri dan bertenang apabila berada dalam sesuatu perlawanan.

“Bagi saya, pasukan dapat belajar benda bagus dari legenda Australia itu walaupun dalam masa seminggu banyak benda yang kita belajar. Banyak benda yang kita tidak tahu sebelum ini tapi kita belajar minggu lepas,” katanya yang bakal menyambut ulang tahun ke-23 minggu depan.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mendapatkan bantuan McCann, bekas pemenang pingat emas Olimpik 2004, selama seminggu bermula 1 Julai lepas, dalam usaha memperbaiki jentera serangan skuad negara menghadapi siri jelajah Eropah serta kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Nik Muhammad Aiman adalah antara 20 pemain yang akan mengikuti siri Jelajah Eropah bermula 25 Julai ini dengan mengadakan perlawanan menentang pasukan utama Eropah -- Jerman, Sepanyol, England, Ireland dan Belgium.

Siri jelajah berkenaan adalah sebagai persiapan skuad negara menghadapi aksi playoff kelayakan Sukan Olimpik 2020 pada November ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel