Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Usia bukan penghalang, remaja Arab Saudi impi jadi ikon kemanusiaan


Tarikh kemaskini: 12/07/2019





Oleh Muhammad Akmal Mohd Yashin

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Majd Muhammad Asiri berusia enam belas tahun bukanlah seorang gadis Arab Saudi biasa.

Berasal dari bandar Ta'if, Majd - seorang penceramah dan pelatih motivasi - mahu menjadi inspirasi kepada generasi muda, terutamanya remaja.

"Saya seorang penceramah dan pelatih yang berkongsi cerita dan pengalaman. Saya bercerita kisah perjalanan hidup dan bagaimana mereka (penonton) boleh menjadi seperti saya, kerana saya mahu menjadi pemimpin hebat dan suri teladan," katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di sini, baru-baru ini.

Sejak 2013, Majd telah menyampaikan ceramah di banyak negara termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia.

Ini adalah lawatan ketiga Majd ke Malaysia, menyaksikan beliau menyampaikan ceramah di beberapa tempat termasuk Universiti Multimedia (MMU) di Melaka.

Lawatan pertama dan keduanya ke Malaysia - pada 2014 dan 2016 - juga di MMU Melaka.

Ceramahnya berkisar kepada pelbagai bidang seperti pembangunan manusia, pidato umum dan teknik membaca, dan kebanyakan penontonnya terdiri golongan muda dan pelajar institusi pengajian tinggi.

Kariernya bermula dengan melancarkan siri bahasa Inggeris di YouTube menerusi akaun "???? ???? 71 ?????????" (halaman YouTube Majd Al-Asiri), turut diselitkan pembelajaran bahasa Arab. 

"Saya mula belajar (bahasa Inggeris) ketika berusia lapan tahun, belajar sendiri di rumah melalui internet dan dalam tempoh dua bulan saya sudah fasih," katanya.

Pada usia sembilan tahun, beliau membuka kelasnya sendiri di rumah ayahnya, mengajar rakan-rakan dan jirannya bahasa Inggeris, selain turut muncul di stesen televisyen seperti Al Watan.

Bergandingan dengan saudaranya, mereka mengasaskan Akademi Alpha 71 - sebuah institusi bagi melatih dan memperkasa belia.

Menurut Majd apa yang diusahakannya jarang berlaku di kalangan wanita Arab Saudi - yang menurutnya perlu diperkasa dengan pengetahuan.

"Kerajaan telah melakukan beberapa pembaharuan untuk wanita Saudi, tetapi mereka (wanita) tidak menyedari hakikat itu dan kurang pengetahuan tentang keselamatan serta hak mereka sendiri. Adakalanya tanpa ilmu, ia memberi kesan kepada anda dan semua tindakan dilakukan memberi impak negatif kepada keluarga dan negara", ujarnya. 

Lantaran itu, beliau terus mengejar impiannya menjadi yang terbaik dan berharap ia mampu memberi inspirasi kepada wanita Saudi untuk berubah.

""Kadang-kadang ia memberi kesan kepada kita, melihat media memberikan gambaran salah tentang kami (wanita) kerana apa berlaku sebenarnya berbeza berbanding apa yang orang fikir," kata Majd.

Atas alasan itu, misi utamanya adalah membantu orang ramai berubah ke arah lebih baik terutama dalam bidang kemanusiaan dan pembangunan manusia.

"Saya mahu menjadi orang yang hebat, membantu orang lain dan menyumbang kepada kemanusiaan secara global, bukan hanya di Arab Saudi," katanya mengakhiri perbualan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel