Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tempoh tambahan tiga bulan untuk pemandu e-hailing patuhi syarat operasi


Tarikh kemaskini: 12/07/2019





PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Kerajaan bersetuju memberi tempoh tambahan tiga bulan kepada semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan bersetuju agar penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing dilaksanakan melalui pendekatan 'soft landing'.

"Untuk tempoh tiga bulan mulai hari ini, mana-mana pemandu yang memandu tanpa lesen PSV atau memandu kenderaan yang tidak memenuhi syarat kenderaan akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir supaya melengkapkan semua peraturan terlibat," katanya pada sidang media di di pejabatnya di sini hari ini.

Loke turut mengingatkan 31 Syarikat Perniagaan Pengantaraan (EHO) untuk kadar komisen yang dikenakan kepada pemandu e-hailing adalah maksimum 20 peratus dan pemandu teksi yang beroperasi melalui aplikasi e-hailing pada kadar maksimum 10 peratus.

"Saya tahu ada syarikat EHO guna pelbagai helah dengan menggunakan nama lain. Ada yang dipanggil lima peratus fi. Ini tidak dibenarkan sama sekali. Kalau mereka mengenakan komisen tambahan, tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat EHO berkenaan," katanya.

Loke berkata penguatkuasaan peraturan dan pelesenan perkhidmatan pengendali ke atas EHO akan dilakukan sepenuhnya oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ditanya faktor keputusan kerajaan memberi tempoh tambahan tiga bulan, beliau berkata ia berikutan ramai pemandu e-hailing sedang menjalani proses mendapatkan PSV dan Permit Kenderaan E-hailing (eVP) dan tidak mahu ada gangguan perkhidmatan kepada penumpang.

Ditanya adakah tiga bulan mencukupi untuk pemandu e-hailing melengkapkan semua peraturan yang ditetapkan, Loke berkata: "Kalau tanya mereka, tiga tahun pun tidak cukup, lebih baik jangan ada peraturan".

Menurutnya, jumlah calon yang telah lulus ujian PSV adalah sebanyak 22,981 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 19,891 calon lulus ujian PSV menerusi institut memandu di seluruh Malaysia manakala 3,090 orang lulus kursus yang dijalankan oleh EHO sendiri, katanya.

Menurutnya, sebanyak 17,596 eVP iaitu 4,216 eVP teksi dan 13,380 eVP kenderaan persendirian telah dikeluarkan.

"Kerajaan berharap semua EHO dan pemandu e-hailing mengambil perhatian serius untuk mematuhi semua peraturan e-hailing serta tidak melengahkan proses ini,” katanya.

Loke berkata beliau telah memaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid supaya penguatkuasaan dijalankan secara berhemah dan memberi peringatan dalam tempoh tiga bulan ini.

--BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel