Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Siti Hasmah sambut ulang tahun kelahiran ke-93 dengan alunan gesekan biola amal


Tarikh kemaskini: 12/07/2019





CYBERJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-93 hari ini dengan alunan gesekan biolanya untuk acara amal pada Minum Petang Amal Yayasan Universiti Multimedia (YUM).

Kelunakan gesekan biolanya membawa lagu 'Secret Garden - The Things You Are To Me', 'Gubahanku' dan 'Terkenang-kenang' memukau kira-kira 450 tetamu semasa persembahan yang berlangsung 15 minit di dataran Multimedia University (MMU) di sini.

Sebelum mempersembahkan lagu keroncong 'Terkenang-kenang' Tun Dr Siti Hasmah berkata: “Ini adalah sebuah lagu lama dan sepanjang masa yang dinyanyikan oleh Kartina Dahari. Saya mainkannya dengan sepenuh hati.”

Selepas persembahannya, sebuah kek dipersembahkan kepada beliau dan semua hadirin mengalunkan lagu ‘Happy Birthday' kepada beliau.

Semasa majlis itu, Dr Siti Hasmah juga melancarkan Dana Anugerah Pengetahuan YUM, satu platform bagi mendapatkan lebih banyak lagi dana anugerah daripada individu dermawan dan pertubuhan korporat.

Semasa ucapannya, Dr Siti Hasmah yang hampir menitiskan air mata dengan sambutan sebegitu rupa berkata, beliau terasa dihormati dan terharu dengan para dermawan pada majlis amal YUM ini.

Mengimbau kembali saat-saat menjadi canselor MMU yang pertama selama 15 tahun dari 1997 hingga 2012, Dr Siti Hasmah berkata: “Semasa pertama kali dipilih sebagai canselor pertama, saya agak terperanjat kerana saya tidak tahu apa-apa mengenai Teknologi Maklumat (IT). Malahan saya tidak faham mengenai IT dan dijadikan pula sebagai canselor.”

Beliau berkata, kini para pelajar di MMU diambil bekerja ‘di mana-mana di seluruh dunia’ dan mereka adalah 'permata dunia'.

“Setiap kali ke luar negara akan ada seseorang yang menghampiri dan berkata, Tun, saya dari MMU,” katanya.

Sambil menasihati komuniti MMU agar terus bekerja kuat tanpa mengenal penat, beliau secara berjenaka berkata: ‘umur bersara ialah 95 tahun’.

Semasa majlis itu, penyanyi Adibah Noor turut mengalunkan lagu ‘Wind Beneath My Wings’ yang juga lagu kegemaran Dr Siti Hasmah.

Adibah juga memuji Dr Siti Hasmah kerana sanggup hadir beberapa jam semalam untuk latihan bagi majlis hari ini. 

“Ia suatu sifat yang amat terpuji kerana bukan ramai artis sanggup datang latihan. Ini adalah satu contoh baik kepada penghibur yang lain,” katanya lagi.

Menerusi Dana Anugerah Pengetahuan YUM yang dilancarkan oleh Dr Siti Hasmah hari ini, orang ramai boleh membuat sumbangan dan derma yang akan memberi manfaat kepada pelajar dan penyelidik di MMU.

Menurut kenyataan MMU yang diedarkan semasa majlis itu, YUM telah membantu hampir 4,000 pelajar dari kumpulan B40 sejak ia didaftarkan pada 2009.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel