Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka waspada kebangkitan Kedah pada final


Tarikh kemaskini: 12/07/2019




PETALING JAYA, 12 Julai (Bernama) -- Melaka lebih berwaspada apabila berdepan dengan juara bertahan Kedah dalam misi memburu gelaran sulung Piala Tun Sharifah Rodziah 2019 pada aksi final di Stadium UiTM Shah Alam, Ahad ini.

Selepas mengejutkan Kedah 3-0 pada pusingan awal, Melaka kini lebih berhati-hati dengan kebangkitan pasukan lawan itu yang sudah pasti akan membalas dendam dengan mengubah strategi perlawanan.

Biarpun keputusan pusingan awal tidak menjanjikan laluan mudah untuk Melaka di pentas final, namun ketua jurulatih Jamil Hassan yakin anak buahnya dapat mengekalkan momentum kemenangan, sekali gus mengubati kekecewaan tewas 2-0 kepada Kedah pada final tahun lalu.

Bagaimanapun, Jamil membayangkan akan merombak taktikal pasukan dengan menurunkan beberapa pemain utama pada babak kedua perlawanan selepas ‘meletihkan’ pemain lawan sebelum itu.

“Kami sudah mengenal pasti dan menilai pemain nadi pasukan Kedah untuk dikawal dan berharap pemain akan mengikut pelan perlawanan dalam final,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.

Melaka melangkah ke final selepas membelasah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-1 pada saingan separuh akhir manakala Kedah mengesahkan tempat ke final kali ketiga berturut-turut selepas mengalahkan Selangor 3-1.

Sementara itu, jurulatih Kedah, yakin anak buahnya mampu mempertahankan kejuaraan kali ini walaupun menampilkan hampir 80 peratus muka baharu pada tahun ini.

Menurutnya, tempoh persiapan antara empat hingga lima bulan itu telah menunjukkan hasil yang positif apabila pasukan itu mencapai sasaran layak ke final.

Barisan pemain baharu dalam skuad telah menunjukkan kesungguhan yang tinggi dan berharap mereka dapat menunjukkan komitmen yang tinggi semasa final agar apa yang kita hajatkan tercapai, katanya.

Kedah merangkul gelaran sulung tahun lalu selepas kalah 1-0 kepada Sarawak pada final edisi 2017.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel