Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sarawak tidak pernah rampas tanah rakyat untuk sedia kemudahan infrastruktur


Tarikh kemaskini: 13/07/2019




SIBU,13 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sarawak tidak pernah merampas tanah milik rakyat sesuka hati atas tujuan pembangunan dan seterusnya menyediakan kemudahan infrastruktur di negeri ini seperti mana yang didakwa segelintir pihak tertentu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, setiap inci tanah rakyat yang diambil balik kerajaan untuk tujuan tersebut akan diberi pampasan sewajarnya.

Oleh itu katanya, rakyat perlu memahami serta menyedari hasrat murni kerajaan dan memberi kerjasama serta menyokong pelaksanaan kerajaan demi kebaikan pada masa depan.

“Pembayaran pampasan tanah membuktikan kerajaan tidak merampas tanah rakyat seperti didakwa pihak tertentu.

“Kerajaan membayar pampasan dengan adil dan munasabah kepada pemilik-pemilik tanah apabila pengambilan balik tanah dilakukan selaras dengan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibaca Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh semasa majlis penyampaian cek pampasan tanah projek pembinaan Jalan Sibu Jaya-Jalan Kong Yit Khim dan Jalan Rantau Panjang-Rassau, Batang Igan Fasa 1 di sini hari ini.

Seramai 110 pemilik tanah yang terlibat dalam projek pembinaan Jalan Sibu Jaya-Jalan Yong Kit Khim sepanjang 6.1 kilometer menerima pampasan berjumlah RM7,932,270.79 dan 106 pemilik tanah  terlibat dalam projek Jalan Rantau Panjang-Rassau, Batang Igan Fasa 1 sepanjang 6.8 kilometer menerima pampasan berjumlah RM3,907,595.72.

Awang Tengah, yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua Sarawak berkata, peruntukan undang-undang tersebut menyatakan tiada seorang pun boleh dilucut hak kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

“Kerajaan Sarawak sentiasa peka dengan kehendak rakyat di negeri ini dengan menyediakan prasarana dan infrastruktur yang lebih sempurna bagi mempercepatkan pembangunan sosio ekonomi di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Beliau berkata usaha kerajaan untuk melipatgandakan pembangunan di kawasan luar bandar adalah selaras dengan hasrat untuk menjadikan Sarawak negeri maju pada masa depan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel