Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PPN Perlis laksana program pemutihan elak ketirisan subsidi baja


Tarikh kemaskini: 14/07/2019





PADANG BESAR, 14 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perlis akan melaksanakan program pemutihan melibatkan kesemua 8,143 ahlinya bermula awal tahun ini bagi mengelakkan berlakunya ketirisan baja bersubsidi.

Pengerusinya, Datuk Tengku Aziz Tengku Jaafar berkata pemutihan itu juga akan dapat memastikan semua petani akan menerima subsidi baja daripada kerajaan mengikut keluasan sebenar sawah yang diusahakan mereka.

“Program pemutihan berjalan dengan baik. Mengikut daftar rekod lama, ada petani mengaku memiliki lima relung, tetapi sebenarnya cuma tiga relung saja (1 relung=0.28 hektar). Ini yang hendak kita bersihkan,” katanya kepada media pada program Reformasi Peladang Perlis di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mata Ayer di sini, hari ini.

Tengku Aziz yang juga ahli jemaah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berkata terdapat petani yang mengistiharkan keluasan sawah sebagai diusahakan, sedangkan ianya telah dibina rumah ataupun bangunan, semata-mata mendapatkan baja bersubsidi yang kemudiannya dijual kepada pihak lain.

Katanya program pemutihan itu yang membabitkan sawah seluas 11,950 hektar di seluruh Perlis, dijangka selesai tidak lama lagi. 

Baru-baru ini, media mendedahkan ketiadaan data lengkap jumlah petani aktif, menyebabkan kerajaan kerugian jutaan ringgit setiap tahun akibat ketirisan dan penyelewengan agihan baja bersubsidi yang diperuntukkan kepada petani di seluruh negara.

Program Reformasi Peladang Perlis 2019 yang berlangsung dua hari anjuran NAFAS itu dirasmikan secara bersama, ahli Jemaah NAFAS Wan Kharizal Wan Khazim dan Tengku Aziz. 

Program itu diadakan di 29 program sepanjang tahun di seluruh negara bertujuan mengeratkan hubungan antara NAFAS dan PPK serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selain memberikan input kepada golongan petani mengenai dasar-dasar kerajaan dan hala tuju industri pertanian negara.

Antara program dijalankan termasuklah ‘Cerna Minda Tani’ iaitu kursus Agroprenuer Muda, program ‘Jualan Untuk Kita’ (jualan barangan keperluan asas) dan Ziarah Peladang.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel