Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

RM200,000 bina jeti baharu untuk kemudahan nelayan Kuala Penyu


Tarikh kemaskini: 14/07/2019





KUALA PENYU, 14 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) terus peka terhadap keperluan nelayan di Sabah khususnya di daerah ini, apabila mengumumkan peruntukan RM200,000 bagi membina baharu Jeti Sitompok, di sini.

Peruntukan itu diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dalam lawatan kerja dan majlis ramah mesra bersama nelayan Kuala Penyu, yang turut dihadiri timbalannya Sim Tze Tzin dan Ketua Setiausaha MOA Datuk Sallehhuddin Hassan, hari ini.

Selepas pengumuman tersebut, Salahuddin kemudian menyampaikan replika cek bagi membina jeti berkenaan kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Penyu Mohd Yusof Mohamad.

Bercakap kepada pemberita Salahuddin berkata, peruntukan itu adalah bantuan segera daripada kementerian, memandangkan jeti sementara yang ada pada ketika ini terlalu daif dan tidak selamat untuk para nelayan mendaratkan hasil laut mereka.

“Jeti ini perlu dibina baharu sebagai kemudahan para nelayan di daerah ini mendaratkan hasil tangkapan mereka, selain memastikan mereka tidak menghadapi masalah seperti sebelum ini.

“Justeru, saya berharap pihak bertanggungjawab menguruskan pembinaan jeti ini, akan memastikan kerja-kerja pembinaan dilakukan mengikut masa ditetapkan, bagi membolehkan para nelayan dapat menggunakan jeti ini dalam masa terdekat,” katanya.

Pembinaan sementara Jeti Sitompok dimulakan sendiri oleh PNK Kuala Penyu pada 21 Feb lalu dengan kos RM15,000, yang dibina di atas rizab perikanan Kuala Penyu dengan mendapat kelulusan daripada Jabatan Perikanan Sabah dan Pejabat Daerah Kuala Penyu.

Pada majlis sama, Salahuddin turut meluangkan masa hampir sejam berdialog bersama agropenur muda Sabah selain menyampaikan geran Agropreneur Muda Negeri Sabah bernilai RM342,000 kepada seramai 40 peserta program tersebut.

Program Agropreneur Muda adalah satu daripada inisiatif MOA untuk menarik serta menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian seterusnya membangunkan lebih ramai usahawan muda dalam sektor itu.

Seramai 419 agropreneur muda di Sabah telah menerima kelulusan geran Agropreneur Muda berjumlah RM5.8 juta sejak 1 Jan 2016 hingga 31 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 267 agropreneur muda menerima geran RM3 juta bagi sektor tanaman, 97 orang menerima RM1.6 juta (sektor industri asas tani); 28 orang menerima RM663,000 (sektor ternakan) dan 27 orang menerima RM607,000 bagi sektor perikanan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel