Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keunikan 'D'Perapi Tebengau' tarik pengunjung


Tarikh kemaskini: 14/07/2019





ALOR SETAR, 14 Julai (Bernama) -- Menikmati hidangan makanan dan minuman di bawah pohon api-api di kawasan pantai menjadi keunikan sebuah kedai makan di Kuala Tebengau, Kuala kedah, di sini sehingga mampu menarik kunjungan ramai pelanggan ke situ.

Walaupun dikelilingi pokok api-api iaitu sejenis pokok bakau, kedai makan itu, D’Perapi Tebengau yang diusahakan seorang anak muda sejak setahun lalu mampu menyerlah dan menghidupkan suasana di situ yang dahulunya terbiar sepi.

Pengusaha kedai makan itu, Usaid Amiruddin, 27, berkata suasana damai dan santai di bawah rimbunan pokok api-api menjadi faktor utama beliau membuka perniagaan di situ selain pemandangan cantik kawasan pantai dan berangin.

“Inilah tarikan utama yang ada di sini, selain merasai angin laut, pelanggan juga dapat menikmati makanan berasaskan udang, sotong dan ketam yang masih segar dalam suasana tenang, damai dan sejuk di bawah pohon api-api terutama di sebelah petang.

“Apabila malam pula, pengunjung dapat menyaksikan pemandangan indah matahari terbenam di kaki langit yang akan memberikan pengalaman berharga yang mungkin tidak ada di tempat lain,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Katanya, antara menu istimewa yang ditawarkan kepada pelanggan pula termasuk mi kuah udang ‘selambak’, mi udang, mi sotong, nasi paprik ketam, nasi paprik udang, mi kari ketam dan pelbagai aneka jenis minuman.

Menceritakan pengalaman sewaktu memulakan perniagaannya, Usaid berkata ia bukan sesuatu yang mudah kerana terpaksa menyelesaikan masalah kawasan yang berselut dan terhakis akibat ombak.

Menurutnya, dia terpaksa menghabiskan ribuan ringgit untuk menambak kawasan itu selain membuat benteng bagi mengelak hakisan terutama ketika musim air pasang besar.

“Saya juga terpaksa membersihkan kawasan ini secara terkawal dan tidak menebang pokok api-api sewenang-wenangnya bagi mengekalkan ekosistem dan suasan di sini,” katanya.

Namun katanya, kepayahan yang dilalui itu berbaloi apabila kedai makannya kini dikunjungi ramai pelanggan terutama apabila ia tular di laman sosial baru-baru ini.

“Alhamdulillah jualan harian mula meningkat, selain itu menu masakan juga telah dipelbagaikan dan jumlah pekerja juga ditambah bagi melancarkan operasi,” katanya yang berharap kedai makannya dapat menjadi salah satu produk pelancongan di negeri ini satu hari nanti.

Sementara itu, seorang pengunjung kedai itu Rizlan Hashim, 57, berkata suasana menarik yang ditawarkan D’Perapi Tebengau menyebabkan beliau dan keluarga sanggup ke kedai makan itu walaupun tinggal di Sungai Petani.

“Persekitarannya sangat menarik, bukan sahaja boleh melihat matahari terbenam di sebelah laut, kita juga mendengar deruan ombak, kicauan burung dan melihat anak-anak kampung melakukan aktiviti mengutip siput atau kerang di laut,” katanya.

D’Perapi Tebengau beroperasi setiap hari kecuali Isnin dan Selasa dan dibuka mulai pukul 3 petang hingga 10 malam.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel