Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga lelaki ditahan berhubung kes pecah rumah


Tarikh kemaskini: 15/07/2019





TAPAH, 15 Julai (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki di Taman Bersatu, Bidor di sini Khamis lepas, yang dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian pecah rumah di sekitar daerah Tapah, Ipoh dan Sungai Siput.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata ketiga-tiga suspek yang berumur antara 23 dan 38 tahun itu ditahan pada pukul 2.50 petang di sebuah rumah sewa, dua hari selepas polis menerima laporan mengenai kejadian kes pecah rumah di Taman Bidor Botani di sini.

Beliau berkata laporan itu dibuat oleh seorang lelaki berusia 60 tahun yang memberitahu dia kehilangan pelbagai barangan berharga yang dianggarkan bernilai RM1,500 selepas rumahnya dipecah masuk.

"Lelaki itu mengesyaki rumahnya dipecah masuk menerusi cermin tingkap belakang rumahnya yang diumpil. Hasil maklumat dan risikan yang dilakukan, kita berjaya menahan ketiga-tiga suspek yang disyaki terlibat dengan kejadian itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di sini, hari ini.

"Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Iriz, sebuah beg kain disyaki berisi dadah dan peralatan menghisap dadah, tujuh botol arak pelbagai jenama, pelbagai peralatan dipercayai untuk pecah rumah, dua buah komputer riba, seutas jam tangan dan wang syiling," tambahnya.

Wan Azharuddin berkata hasil soal siasat ke atas kesemua suspek, mereka mengaku terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di kawasan sekitar Tapah, Sungai Siput dan Ipoh sejak empat bulan lepas.

Beliau berkata hasil semakan mendapati suspek berusia 38 tahun yang dipercayai dalang kes pecah rumah itu mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kes pecah rumah dan dadah manakala dua lagi suspek masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Menurut Wan Azharuddin, kesemua suspek direman selama seminggu bermula Jumaat lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, dan siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan sekiranya terdapat rakan sejenayah suspek yang terlibat dengan kes itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel