Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelaksanaan projek tebatan banjir Sungai Kedah kurang cekap


Tarikh kemaskini: 15/07/2019




KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pengauditan terhadap projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit (SKAB) di bawah RTB Lembangan Sungai Kedah, mendapati pelaksanaan projek berkenaan kurang cekap, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 1, yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pengauditan yang dijalankan antara Januari dan Februari 2019, kelemahan yang dikesan merangkumi aspek perancangan projek, pengurusan perolehan, pentadbiran kontrak, pelaksanaan kerja pembinaan dan penyenggaraan selepas projek siap.

Laporan itu menyebut kajian kemungkinan yang tidak dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), telah menyebabkan keperluan pengguna dan keadaan sebenar di tapak tidak diambil kira.

“Perubahan keperluan pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) semasa pelaksanaan projek telah menyebabkan perubahan reka bentuk jalan ladang, permatang, bahu saluran, Jambatan Laluan Ringan (LTB) dan kelebaran sungai dipinda memberi kesan kepada peningkatan kos dan lanjutan masa.

“Kelemahan semasa peringkat reka bentuk menyebabkan berlakunya pemberian lanjutan masa dan perubahan kerja; kerja binaan di tapak tidak mengikut spesifikasi ditetapkan serta kualiti kerja binaan kurang memuaskan,” demikian menurut laporan itu.

Projek bernilai RM641.35 juta itu dilaksanakan bagi mengurangkan masalah banjir di Kedah yang merangkumi tiga pakej iaitu Pakej 1, menaik taraf Sungai Baru/Sungai Kubang Rotan; pembinaan lencongan Sungai Baru dan menaik taraf Sungai Anak Bukit serta kerja-kerja berkaitan RTB (Pakej 2) dan menaik taraf Sungai Tanjung Pauh, terusan utama, terusan utara MADA dan menaik taraf sungai Anak Bukit (Pakej 3).

Menurut laporan itu, sehingga 31 Dis lepas, sebanyak RM442.77 juta atau 69 peratus daripada peruntukan yang diluluskan sudah disalurkan kepada JPS dengan RM429.59 juta (97 peratus) daripada jumlah itu telah dibelanjakan.

Pengauditan mendapati projek Pakej 2 dan Pakej 3 tidak dapat disiapkan mengikut tarikh yang ditetapkan iaitu masing-masing pada 24 Nov 2015 dan 4 Nov 2016, menyebabkan objektif RTB SKAB setakat ini belum tercapai.

Bagi mengatasi kelemahan itu, laporan itu mengesyorkan JPS membuat kajian kemungkinan sebelum projek dilaksanakan bagi memastikan kecekapan pelaksanaan projek dan menyelesaikan proses pengambilan balik tanah terlebih dahulu sebelum memulakan projek.

“JPS perlu memastikan reka bentuk yang disediakan sama ada secara dalaman atau perunding mengambil kira keperluan pemegang kepentingan secara terperinci,

“JPS perlu meningkatkan tahap pemantauan terhadap kerja-kerja di tapak dan melaksanakan penyenggaraan secara berkala selepas projek siap bagi menjamin kualiti kerja serta mengekalkan kapasiti sungai,” menurut laporan setebal 802 muka surat itu.

Kementerian Kewangan juga perlu memastikan kelulusan pelantikan kontraktor dibuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan peraturan yang ditetapkan, jelas laporan itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel