Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lima individu ditahan, dadah lebih RM1.4 juta dirampas 


Tarikh kemaskini: 15/07/2019





KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Polis menahan lima individu, termasuk dua lelaki warga Iran serta seorang wanita warga Vietnam, dan merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai lebih RM1.4 juta di ibu negara pada Khamis dan Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kesemua suspek berusia antara 24 dan 46 tahun ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Mengulas tangkapan pertama pada Khamis, beliau berkata pihaknya menahan seorang wanita warga Vietnam dan seorang lelaki tempatan serta merampas dadah jenis heroin seberat 19 gram di Jalan Dang Wangi di sini pada pukul 1.00 pagi. 

“Selepas disoal siasat, suspek membawa polis ke sebuah kondominium iaitu lokasi penyimpanan dadah dan merampas serbuk dadah disyaki syabu (2,196 gram) dan ketamin (6 gram),” katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan di hadapan sebuah kondominium di Lebuhraya Sungai Besi pada pukul 4.50 pagi.

“Polis kemudiannya merampas dadah jenis syabu seberat (23,496 gram), wang tunai serta sepucuk pistol bersama satu kelopak dan 28 butir peluru.

“Suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak tujuh bulan lalu,” katanya.

Bagi tangkapan ketiga, Mazlan berkata dua lelaki warga Iran ditahan di sebuah kondominium di Jalan Solaris di sini kira-kira pukul 7.40 petang Jumaat lepas.

“Pemeriksaan terhadap kereta jenis Mercedes Benz milik suspek membawa kepada penemuan dadah jenis ketamin seberat 1,005 gram. Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Walther CP88 bersama satu kelopak dan lapan butir peluru di kondominium suspek,” katanya. 

Siasatan awal mendapati salah seorang suspek warga Iran itu telah berada di negara ini sejak 25 tahun lepas dan dipercayai bekerja sebagai ejen hartanah serta aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu.

Kesemua suspek direman antara enam dan 14 hari dari tarikh ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel