Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Guru antara lima ditahan berhubung kes kereta klon


Tarikh kemaskini: 15/07/2019





KUALA KANGSAR, 15 Julai (bernama) -- Seorang guru lelaki yang dipercayai menjadi dalang menjual kereta klon, antara lima yang ditahan polis dalam operasi berasingan di sini dari 5 hingga 12 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Razali Ibrahim berkata lelaki itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan sepasukan anggota polis trafik Kuala Kangsar, bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman di Taman Seri Pelangi di sini, pada pukul 10.20 pagi, Khamis lepas.

“Polis turut merampas dua kereta jenis Nissan Sylphy dan Nissan Teana yang mana pemeriksaan mendapati nombor casis kedua-dua kereta itu tiada dalam sistem Mysikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) malah menggunakan nombor pendaftaran kenderaan dan cukai jalan palsu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu ditahan susulan penahanan seorang pelajar lelaki berumur 21 tahun, di sebuah universiti di sini pada 5 Julai kira-kira pukul 10.55 pagi kerana memandu kereta jenis Honda Stream yang cukai jalannya telah tamat tempoh.

"Siasatan mendapati kereta yang digunakan pelajar itu dibeli ibunya dengan harga RM10,000 untuk digunakan di sini," katanya.

Razali berkata polis turut menahan seorang wanita berusia 41 tahun, yang menaiki kereta jenis Honda Stream yang dipercayai kereta klon, selepas pemeriksaan mendapati cukai jalannya tamat tempoh dan nombor casis yang meragukan pada pukul 10.20 pagi, Rabu lepas di Jalan Idris.

Katanya dalam operasi pada kira-kira pukul 7.40 malam Khamis lepas, polis menahan seorang lelaki berumur 29 tahun di Taman SS2 Perdana, Sungai Siput, selepas menemui sebuah kereta jenis Honda Jazz menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain, dan cukai jalan palsu.

"Siasatan mendapati suspek telah membeli kereta itu dengan harga serendah RM4,000 dan ia merupakan kereta klon," katanya.

Razali berkata dalam serbuan pada pukul 5 petang Jumaat lepas pula, polis menahan seorang kakitangan awam berumur 33 tahun di hadapan Pejabat Lembaga Air Perak (LAP) dan menemui sebuah kereta jenis Suzuki Swift yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain.

Katanya suspek mengakui membeli kenderaan itu dengan harga serendah RM3,800.

Beliau berkata kesemua yang ditahan telah direman selama empat hari dan dibebaskan dengan jaminan manakala siasatan masih dijalankan bagi mengesan sindiket yang menjual kereta klon yang dipercayai diperolehi dari Singapura.

Beliau berkata semua kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 7(1), Seksyen 108(3)(e) dan Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel