Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tidak berat sebelah siasat tuduhan Exco rogol pembantu rumah


Tarikh kemaskini: 16/07/2019





IPOH, 16 Julai (Bernama) -- Tiada unsur berat sebelah dalam siasatan terhadap seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) Perak yang dikaitkan dengan tuduhan merogol pembantu rumah baru-baru ini. 

Ketua Polis Negeri, Datuk Razarudin Husain berkata jaminan polis diberikan kepada Paul Yong Choo Kiong kerana siasatan telah selesai dan tindakan itu adalah berpandukan kepada undang-undang serta Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Apabila kita siasat kes, kita akan tangkap suspek atau orang kena tuduh jika (suspek) ganggu siasatan atau mangsa atau ada kemungkinan (suspek) melarikan diri, jika tiada lagi siasatan perlu kita buat, kita tidak perlu tahan. 

"Dalam undang-undang jaminan perlu diberikan bagi kes yang boleh dijamin, maka bila siasatan lengkap kita kena jamin. Bukan sebab berpihak atau (suspek) Exco. Tiada kenam mengena dengan ini," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini. 

Razarudin mengulas mengenai desakan segelintir pihak yang mahu polis menahan semula Yong yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun yang merupakan pembantu rumah Yong membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh mendakwa dirogol Exco itu di rumah majikannya itu di Meru. 

Razarudin dalam satu kenyataan pada 10 Julai memaklumkan, tangkapan ke atas Yong telah dibuat pada 9 Julai yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama setelah memberi keterangan sementara siasatan dilengkapkan. 

Menjelas lanjut, Razarudi berkata pihaknya telah menghantar kertas siasatan kes itu kepada Pengarah Pendakwaan negeri untuk tujuan semakan dan kajian secara terperinci, dua hari lepas. 

Mengenai laporan perubatan serta forensik mangsa serta suspek, Razarudin berkata kedua-dua dokumen itu dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata pihaknya telah mendapat Kuasa Untuk Menyiasat  daripada Pengarah Pendakwaan negeri untuk menyiasat kes membabitkan Pengerusi Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamahri. 

Katanya kes itu melibatkan dua kertas siasatan dengan yang pertama adalah berkaitan laporan polis oleh bekas pegawai khas Abdul Yunus, Beh Yong Kean yang mendakwa Exco tersebut membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri dan ia disiasat di bawah Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi.

"Satu lagi kertas siasatan adalah berhubung laporan polis ke atas Beh yang dibuat oleh Abdul Yunus dan ia disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya menambah polis telah merakam percakapan kedua-dua individu berkenaan. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel