Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peguam didakwa jalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen


Tarikh kemaskini: 16/07/2019





KLANG, 16 Julai (Bernama) -- Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen antara tahun 2014 hingga 2015.

Tertuduh, M. Pannirselvam, 48,  bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Razali Ariffin.

Mengikut pertuduhan, Pannirselvam dituduh melakukan perniagaan pemberi pinjaman wang dengan memberikan pinjaman berjumlah RM6,193,160 kepada seorang lelaki berumur 50 tahun walaupun tidak mempunyai lesen untuk berbuat demikian.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Besar Pekan Kapar pada 15 Mei 2014 hingga 6 Nov 2015.

Pannirselvam didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 dan maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Alison Chan May Kam bagaimanapun tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

“Namun jika mahkamah ingin menetapkan jaminan, saya memohon supaya jaminan ditetapkan sebanyak RM300,000 selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebanyak dua kali sebulan,” katanya.

Peguam bela tertuduh, K. Nathiya pula memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan tersebut kepada RM5,000 memandangkan tertuduh merupakan penanggung tunggal kepada isteri dan empat anaknya.

Hakim Razali membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bersama seorang penjamin dan memerintahkan Pannirselvam menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Sept depan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel