Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis NS berjaya selesai 16 kes samun dan ragut


Tarikh kemaskini: 16/07/2019





SEREMBAN, 16 Julai (Bernama) -- Polis Negeri Sembilan berjaya menyelesaikan 16 kes melibatkan jenayah samun dan ragut di sekitar negeri ini dengan anggaran kerugian sebanyak RM50,410 selepas tertangkapnya dua suspek lelaki, 4 Julai lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan ACP Wan Rukman Wan Hassan berkata kedua-kedua suspek yang berusia 27 dan 41 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di daerah ini.

Katanya kes terbaharu iaitu samun dan ragut ke atas seorang warga emas berusia 67 tahun di sebuah rumah di Taman Bidara, Rahang, 27 Jun lepas, membawa kepada kejayaan penahanan kedua-dua suspek berkenaan.

“Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, kedua-dua suspek dipercayai menyerang dan memukul seorang warga emas dengan sebatang besi sehingga menyebabkan mangsa terjatuh. Suspek juga menarik beg tangan mangsa yang mengandungi wang tunai, telefon bimbit serta lain-lain dokumen dengan anggaran kerugian sebanyak RM2,500 dan kemudian melarikan diri.

"Risikan dan siasatan lanjut yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban berjaya mengesan dan menangkap seorang suspek berusia 41 tahun di sebuah rumah di Taman Dusun Nyior, Rahang, Seremban pada  kira-kira 3.40 petang pada 4 Julai lepas," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Wan Rukman  berkata dengan penahanan itu, polis turut merampas barangan seperti sebuah motosikal jenis Honda NF100 yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, tiga buah telefon bimbit pelbagai jenama dan turut merampas paket plastik lut sinar disyaki dadah jenis heroin dan Methamphetamine, masing-masing dua paket daripada suspek.

"Susulan tangkapan pertama, pada hari yang sama juga, pada 6.45 petang, polis juga berjaya memberkas seorang lagi lelaki berusia 27 tahun di sebuah rumah di Taman Gading, Seremban dan turut merampas enam buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua buah topi keledar, sebuah motosikal dan wang tunai.

"Semakan juga mendapati suspek pertama mempunyai sembilan rekod lampau iaitu tujuh rekod kesalahan narkotik dan dua kesalahan jenayah sejak tahun 2000  hingga 2018 manakala suspek kedua mempunyai 10 rekod lampau iaitu lima rekod kesalahan narkotik dan lima kesalahan jenayah sejak tahun 2013 hingga 2019," katanya.

Katanya mereka juga didapati bergiat aktif dalam jenayah samun dan ragut di beberapa daerah di negeri ini sejak awal tahun ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel