Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis gagalkan cubaan menyamar sebagai Menteri Besar Selangor


Tarikh kemaskini: 16/07/2019





SEPANG, 16 Julai (Bernama) -- Polis menggagalkan tindakan seorang lelaki yang menyamar sebagai Menteri Besar Selangor dengan tujuan mendapatkan geran tanah milik kerajaan negeri.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata pihaknya menahan lelaki berusia 26 tahun itu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap pada 9 Julai lepas susulan laporan dibuat Pegawai Daerah Sepang selepas menerima panggilan daripada suspek.

Dalam kenyataan hari ini, Abdul Aziz berkata pengadu menerima panggilan daripada suspek pada 16 Jun lepas daripada nombor telefon yang direkodkan dalam telefon bimbitnya sebagai Menteri Besar Selangor dan pemanggil turut memperkenalkan dirinya sebagai Menteri Besar Selangor.

Menurutnya lagi, pemanggil tersebut telah membangkitkan kes pemberimilikan tanah kerajaan kepada sebuah syarikat dan mendakwa beliau telah dititahkan untuk menyelesaikan isu tersebut dengan kadar segera dan mengeluarkan geran tanah tersebut supaya pemajuan kawasan tersebut dapat dilaksanakan.

Suspek kemudiannya memberikan satu nombor telefon lain kepada pengadu untuk memudahkan mereka berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp.

Abdul Aziz berkata pengadu mengesyaki bahawa pemanggil tersebut bukan Menteri Besar Selangor kerana suaranya yang berlainan, selain mendapati ketika itu, menteri besar juga berada di luar negara.

Susulan itu, pengadu mengesyaki bahawa ada individu yang telah menyamar sebagai menteri besar menggunakan nombor telefon Menteri Besar Selangor dengan niat cubaan menipu untuk tujuan mendapatkan geran tanah milik kerajaan negeri, katanya.

Abdul Aziz berkata siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sepang berhubung kes itu yang turut merampas satu unit telefon bimbit milik suspek berserta sekeping kad sim.

Menurutnya, suspek dituduh di Mahkamah Majistret Sepang di sini hari ini di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan jalan samaran.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel