fxFv6B39VAk Latheefa tekad jadikan SPRM ‘whiter than white’
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Latheefa tekad jadikan SPRM ‘whiter than white’


Tarikh kemaskini: 16/07/2019





PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) -- "Cabaran paling besar bagi kami ialah menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai agensi yang bebas daripada rasuah,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

Wanita pertama yang dilantik menerajui agensi penguatkuasaan negara dalam membanteras rasuah itu berkata, nekad untuk memastikan pegawai dan anggota SPRM bebas daripada sebarang unsur rasuah.

“That is the biggest challenge (Ini cabaran terbesar), cabaran kami adalah untuk menjadikan SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasa ‘whiter than white'.

“Saya baru menjawat jawatan ini (Ketua Pesuruhjaya SPRM) pada 4 Jun lepas (lebih 40 hari) dan masih dalam mood untuk mendapatkan maklumat, “ katanya dalam temubual bersama Bernama di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

“Jika saya ada terima laporan atau aduan (mengenai pegawai dan anggota SPRM terlibat rasuah), saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.

Latheefa juga akan fokus untuk menjadikan SPRM sebagai agensi penguatkuasa yang pragmatik dari segi pencegahan rasuah.

“Makna pencegahan itu bukan dari segi konvensional iaitu bukan hanya dengan memberitahu melalui penerangan seperti rasuah itu tidak elok dan sebagainya, maka ia perlu ada tindakan proaktif SPRM.

“Kami mempunyai satu unit yang meletakkan setiap pegawai SPRM yang berintegriti di setiap kementerian, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memastikan sistem perolehan  mereka mengikut peraturan yang sepatutnya,” katanya.

Latheefa berkata, SPRM membuat pemantauan dan akan memastikan tiada kelompangan dalam sistem perolehan kementerian, agensi kerajaan dan syarikat GLC bagi mengelak berlakunya rasuah.

Setakat ini, pihaknya mendapat komitmen dan maklum balas yang baik daripada pihak berkenaan.

“Kami juga ada menerima permintaan daripada syarikat swasta yang meminta SPRM untuk mengadakan kursus bagi menguruskan sistem perolehan dan ia satu respon yang baik,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel