Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

YR1M terima dana RM443 juta daripada 1MDB, Petronas dan Genting Group - Saksi


Tarikh kemaskini: 16/07/2019





KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Petronas dan Genting Group adalah pembiaya dana YR1M, yang ditubuhkan pada Januari 2013.

Ung, 51, saksi ke-49 pendakwaan berkata demikian semasa disoal dalam pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan hari ke-38 kes bekas perdana menteri itu, membabitkan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Muhammad Shafee: Anda adalah CEO pertama YRIM? Wanita itu menjawab “ya”.

Muhammad Shafee: Siapakah pembiaya YR1M? Ung berkata "1MDB,  Genting Group dan  Petronas".

Ketika ditanya berapakah ketiga-tiga entiti itu menyumbang kepada YR1M, Ung berkata 1MDB menyumbang RM210 juta; Genting Group (RM230 juta); dan Petronas (RM3 juta).

Saksi menjelaskan YR1M ditubuhkan dengan tiga teras utama iaitu meningkatkan kualiti hidup rakyat yang kurang bernasib baik, meningkatkan taraf pendidikan pelajar di kawasan luar bandar dan memupuk nilai-nilai positif dalam kalangan belia melalui penyertaan mereka dalam sukan.

“Program YR1M diilhamkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mahu melihat lebih banyak aktiviti komuniti dilaksanakan berdasarkan prinsip program 1Malaysia,” katanya dan menambah Najib merupakan seorang daripada Pengarah YRIM.

Membacakan pernyataan saksinya, Ung berkata YR1M mempunyai tiga akaun untuk membiayai operasi dan projeknya, dan sumber pembiayaan untuk satu daripada akaun itu adalah hasil perjudian daripada Genting Group. 

Pembiayaan untuk dua akaun lain adalah daripada sumber lain, katanya.

Apabila ditanya  sama ada beliau bekerja di Wynton Private Equity Group yang dimiliki oleh ahli perniagaan dalam buruan Jho Low antara 2004 dan 2006, saksi itu berkata “ya”.

Muhammad Shafee: Apakah jawatan anda di Wynton?

Ung:  Tidak ada jawatan sebenar, mungkin seorang eksekutif. Saya juga membantu menubuhkan pejabat, mengawasi pengubahsuaian kerana ia baru beroperasi.

Muhammad Shafee: Jangan terkejut; saya perlu bertanyakan perkara ini, Wynton, adakah ia berkaitan dengan Jho Low?

Ung: Ya.

Muhammad Shafee: Bagaimana hubungannya?

Ung: Saya menggambarkannya sebagai prinsipal.

Muhammad Shafee: Jadi pada dasarnya dia memiliki syarikat itu?

Ung: Ya

Semasa menjelaskan secara terperinci program Tanggungjawab Sosial Korporat yang dijalankan yayasan itu, Ung berkata YR1M melancarkan kira-kira 1,500 program untuk membantu rakyat Malaysia antara tahun 2013 dan 2018. 

Pada ketika ini, Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoc Datuk V. Sithambaram membuat bantahan dengan berkata soalan yang diajukan Muhammad Shafee adalah tidak relevan dengan pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Bagaimanapun Muhammad Shafee menegaskan beliau perlu membuktikan semua perkara itu atas sebab-sebab bona fide iaitu dengan niat dan pandangan baik.

Muhammad Shafee mempersoalkan Ung atas penggunaan dana YR1M untuk membantu masyarakat luar bandar di Sarawak untuk mewujudkan akses air asas dan kemudahan lain.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali meminta pihak pembelaan agar tidak terlalu banyak bertanya tentang latar belakang kerana tidak semua maklumat itu penting bagi kes berkenaan.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel