Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rakyat perlu lahirkan golongan cerdik pandai berakhlak mulia - MB N.Sembilan


Tarikh kemaskini: 16/07/2019





SEREMBAN, 16 Julai (Bernama) -- Dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai negara maju, rakyat  mestilah mempunyai acuan tersendiri dengan melahirkan golongan cerdik pandai yang berakhlak mulia, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyanjungi dan menyokong usaha Jabatan Pendidikan Negeri dalam menghasilkan pelajar ABC iaitu 'Anak Yang Baik Lagi Cerdik'.  

Justeru itu, Aminuddin berkata tidak hairanlah kes disiplin di Negeri Sembilan bertambah baik dengan adanya kesungguhan Jabatan Pendidikan negeri di bawah teraju Pengarahnya Dato' Hj. Pkharuddin Ghazali  melaksanakan pengiktirafan amalan baik pelajar.

Menteri Besar berucap pada majlis Apresiasi Gemilang Pejabat Pendidikan Daerah Seremban 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Mohamad Taufek Abd Ghani; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon; Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan negeri Radziah Abd Manap; dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Seremban Rodiah Mohd Jan.

Aminuddin berkata usaha melahirkan 'Anak Yang Baik Lagi Cerdik' memerlukan komitmen semua penjawat awam termasuk ibu bapa dan cabaran besar yang perlu ditangani dalam usaha ini ialah pemantapan etika dan budaya kerja berkolaboratif.

"Oleh itu, saya amat berharap agar guru-guru dan kepimpinan sekolah dapat memahami dengan mendalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 agar dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.

”Usaha yang bersungguh-sungguh dalam kalangan warga kerja Kementerian Pendidikan, teras penting ke arah memacu dan melestarikan transformasi dan program yang menyokong kepada pencapaian keberhasilan utama iaitu kualiti sekolah dan kemenjadian murid," katanya.

Beliau berkata bagi meningkatkan keberhasilan utama ini, warga pendidik perlu bersatu hati dan komited dalam mengenal pasti isu dan seterusnya melaksanakan intervensi bagi mencapai matlamat.  

Aminuddin menyeru semua pihak dari pelbagai bidang dan kemahiran untuk turut bersama-sama membantu   menjayakan aspirasi pendidikan negara.

Pada majlis itu, pesara guru Datuk Sabariah Shukor dan Abd Razak Rasdi diumumkan sebagai Tokoh Kepimpinan Guru dan Tokoh Guru Daerah Seremban 2019 dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000, sijil dan trofi.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel