Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Gesaan rujuk ke Jawatankuasa Parlimen untuk alih perhatian isu sebenar - Lim 


Tarikh kemaskini: 16/07/2019





KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan usul pembangkang untuk merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung isu tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Katanya pembangkang sudah pastinya memainkan isu itu berbanding menekankan pelaksanaan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memastikan pelanggaran peraturan mengenai  bayaran balik GST, tidak berulang.

"Memanglah mereka mahu memainkan isu ini, itu kita sedia layan dan lawan. Sekiranya sesuatu peruntukan diberikan untuk satu tujuan, ia mesti digunakan untuk tujuan itu, ia tidak boleh dialihkan untuk tujuan lain, kalau dialih untuk tujuan lain, ia dianggap satu kesalahan...maka boleh diambil tindakan.

"Saya hanya nak tumpukan dalam laporan ke atas apa yang dinyatakan dalam laporan PAC di mana ada rumusan dan syor," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan menteri bersama Pegawai Kemajuan Perkampungan (PKP) di sini, hari ini.

Hasil siasatan PAC berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah Kementerian Kewangan, mendapati tiada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST.

Laporan berkenaan juga mendapati hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST telah digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

PAC memulakan prosiding pada 12 Sept tahun lepas berikutan kenyataan Lim di Dewan Rakyat pada Ogos 2018 bahawa tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ kerajaan terdahulu.

Berikutan laporan PAC itu, beberapa ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat semalam menggesa Lim dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen selepas mendakwa beliau membuat kenyataan yang mengelirukan dewan.

Lim berkata pembangkang juga ingin mengalih perhatian rakyat daripada kes perbicaraan yang dihadapi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan tentangan beberapa pimpinan UMNO terhadap lantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel